BAU: Dua menara telekomunikasi di daerah ini dipercayai menjadi sasaran pencuri kabel dalam tempoh kira-kira 70 minit, menyebabkan kabel kuasa milik Maxis hilang dalam dua kejadian berasingan, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman, berkata kejadian pertama dikesan kira-kira jam 11.20 pagi apabila seorang juruteknik menjalankan pemeriksaan di menara komunikasi di Kampung Opar.
“Pemeriksaan mendapati kabel kuasa RRU sepanjang 80 meter bagi 12 laluan hilang, dengan kerugian dianggarkan RM6,000.
“Kira-kira 70 minit kemudian, kejadian kedua dikesan di menara komunikasi Kampung Daun Singai apabila pemeriksaan pada jam 12.30 tengah hari mendapati kabel kuasa RRU sepanjang 70 meter bagi lima laluan turut hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Haide berkata, jumlah kerugian bagi kejadian kedua bagaimanapun masih belum dapat dikenal pasti.
Beliau berkata, kedua-dua kehilangan itu disedari juruteknik East Field Sdn Bhd, iaitu kontraktor kepada Maxis, ketika menjalankan pemeriksaan di menara berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua lokasi mempunyai persamaan dari aspek keselamatan apabila kawasan menara tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan tidak mempunyai pengawal keselamatan.
“Menara komunikasi di Kampung Opar terletak kira-kira 20 meter dari jalan utama dan dikelilingi kawasan hutan, manakala penempatan terdekat berada kira-kira 100 meter dari lokasi itu.
“Suspek dipercayai memasuki kawasan menara berkenaan melalui lubang pada pagar yang dipercayai telah dipotong,” katanya.
Beliau berkata, bagi kejadian di Kampung Daun Singai pula, menara berkenaan terletak kira-kira 70 meter dari jalan utama dan turut dikelilingi kawasan hutan, dengan penempatan terdekat kira-kira 100 meter dari lokasi.
Katanya, suspek dipercayai memasuki kawasan menara melalui pintu pagar utama yang didapati tidak berkunci, manakala tiada saksi mata melihat kejadian bagi kedua-dua kes berkenaan.
Menurutnya, polis kini menjalankan siasatan serta usaha mengesan dan menangkap suspek, selain sudah mengambil keterangan pengadu dan menjalankan pemeriksaan di kedua-dua lokasi kejadian.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.



