ARTIKEL

Fatimah bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur II di Petra Jaya, hari ini.

Kadar pemberian Bantuan Ihsan Kematian (BIK) dikurangkan kepada RM1,800

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kadar pemberian Bantuan Ihsan Kematian (BIK) kepada waris pemegang Kenyalang Gold Card (KGC) akan dikurangkan kepada RM1,800 bermula 22 Julai ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur II di Petra Jaya, hari ini.

“Kerajaan telah membuat kajian semula terhadap kadar pemberian BIK kepada waris pemegang KGC yang layak, dengan mengurangkan kadar sedia ada RM3,000 kepada kadar baharu iaitu RM1,800 mulai 22 Julai 2024,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata hasil daripada pengurangan kadar BIK itu akan digunakan untuk pelaksanaan SCHB, yang memerlukan Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM50 juta setahun.

“Dana yang dipotong ini masih digunakan untuk membantu warga emas kita, lagipun ramai dalam kalangan penerima KGC meminta agar kita menyediakan bantuan kesihatan kepada mereka.

“Jadi ini hala tuju kita dalam membantu warga emas, yang antara aktiviti harian mereka adalah menjaga kesihatan dan berjumpa doktor,” katanya.

Inisiatif SCHB adalah bagi menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai di Klinik Panel dengan had maksimum RM500 seorang setahun, yang akan dilancarkan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena Sambutan Hari Wanita 2024 di Sibu pada 10 Ogos nanti.

Dengan itu, warga emas yang layak boleh mendapatkan perkhidmatan perubatan pesakit luar di klinik swasta (pengamal am) untuk masalah kesihatan seperti demam dan selsema, sakit kepala, cirit birit dan muntah, terseliuh, iritasi ringan pada kulit (alergik/ gatal), gout, trauma ringan seperti luka ringan dan lain-lain.

Manakala bagi klinik gigi, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan cabutan, tampalan dan gigi palsu (minimum caj pembuatan gigi palsu adalah RM250).

Bagaimanapun, perkhidmatan tidak termasuk rawatan susulan bagi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) rutin seperti darah tinggi, kencing manis, rawatan susulan penyakit-penyakit kronik, saringan kesihatan yang memerlukan sampel untuk dihantar ke ujian makmal.

Ia termasuk Tele Perubatan (Perkhidmatan penjagaan kesihatan secara maya) – pesakit/warga emas mesti hadir secara fizikal untuk mendapatkan konsultasi dan rawatan di klinik; rawatan estetik untuk kecantikan dan penggunaan ambulans.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU