Kajian ilmiah bantu kerajaan gubal dasar

KUCHING: Langkah Kerajaan PH menerima sebarang hasil kajian ilmiah yang dilakukan oleh manamana pihak mengenai pakatan itu, perlu dialu-alukan.

Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof. Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia merupakan dasar keterbukaan kerajaan pemerintah untuk mencari jalan penyelesaian isu-isu yang berlaku hari ini.

Menurutnya, semua data kajian tersebut dapat dikongsikan bersama-sama untuk menyelesaikan isu yang melibatkan masyarakat di pedalaman Sabah Sarawak, kemiskinan dalam kalangan masyarakat bandar dan sebagainya. “Ini adalah dasar keterbukaan pemerintah sekarang. Langkah ini menggambarkan sikap berlapang dada dan perlu dialualukan.

“Pada masa sama, kita harap supaya keterbukaan itu tidak disalahgunakan dengan cuba memberi sisi yang tidak seimbang,” tegasnya kepada Suara Sarawak, semalam.

Penganalisis politik itu menambah, kajian akademik ini merupakan satu kajian yang objektif yang tidak memihak kepada manamana parti, tiada unsur ideologi bersifat dua parti.

“Kebanyakan kajian yang dijalankan adalah berteraskan objektif yang ditetapkan, mendapat maklumat daripada peringkat akar umbi, mencari punca.

“Kemudiannya, penyelidik cuba memberi cadangan untuk menyelesaikan isu tersebut,” ujarnya. Menurut Dr Awang, antara ahli akademik yang banyak membuat kajian ilmiah yang mengupas mengenai isu kemiskinan masyarakat Melayu luar bandar ialah Prof. Dr Fatimah Kari.

“Kajian-kajian yang dilakukan oleh ahli akademik ini sangat membantu kerajaan untuk menggubal dasar yang lebih baik untuk negara. “Ini agar dasar tersebut bukan bersifat dari atas ke bawah sebaliknya dari bawah ke atas yang memfokuskan kepada keperluan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, sesuatu dasar mestilah berkesan dan mengambil kira permasalahan yang berlaku pada masa tersebut merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik.

Pada Khamis, Timbalan Presiden PH Tan Seri Muhyiddin Yassin berkata, PH tidak menolak sebarang hasil kajian yang dilakukan oleh mana-mana pihak mengenai pakatan itu sekiranya ia dijalankan secara ilmiah dan boleh diguna pakai.

Katanya lagi, hasil kajian itu boleh digunakan oleh Kerajaan PH untuk menambah baik usaha meyakinkan dan memberi kefahaman kepada rakyat.

“Ia satu kajian yang dibuat oleh satu badan pemikir, biasanya kita tidak menolak apa-apa hasil kajian akademik yang dilakukan.

“Kalau mereka menyatakan penerimaan anak-anak muda pada PH masih rendah, kita kena usaha untuk tingkatkan program yang ada untuk menarik ramai anak muda dalam pelbagai kegiatan,” katanya