Kajian tumbuhan liar di sungai Dalat

OYA: Agensi kerajaan akan bekerjasama membantu menjalankan kajian dan membuang tumbuhan liar atau gondok air di sepanjang sungai di Dalat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, langkah penyelesiaan secara menyeluruh, terperinci yang efektif serta efisien perlu diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

Menurutnya, antara agensi terlibat ialah Kementerian Pengangkutan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).

“Langkah ini perlu merangkumi kesan kepada aspek ekonomi setempat dan alam sekitar dalam usaha mengawal populasi gondok air.

“Kami mahu melalui usaha ini ia dapat menjana pendapatan penduduk apabila ia ditukar menjadi baja dan tidak dibuang begitu sahaja,” katanya berucap selepas bersama-sama penduduk kampung sekitar membersihkan tumbuhan liar di Oya baru-baru ini.

Katanya, usaha tersebut melibatkan kajian untuk jangka panjang, sebagaimana mengurangkan kadar pembesaran dan pertambahan populasi tumbuhan liar tersebut.

“DID Mukah juga mempertimbangkan perlu peruntukan pada masa depan di Batang Oya yang terjejas, dan kita juga cadangkan kepada mereka agar setiap tumbuhan liar yang dibuang dan dilupuskan atau dijual agar dapat memberi manfaat ekonomi.

“Malah melalui usaha penduduk kampung menggunakan kaedah meletakkan buluh, serta menggunakan botol air yang dikitar semula diikat bersama-sama dapat menjadi benteng. “Kami menyarankan ketua kaum dan penduduk kampung di sini untuk bersama-sama mengumpul botol kosong untuk dikitar semula dibuat menjadi benteng dalam usaha memelihara sungai serta elakkan botol ini dibuang begitu sahaja,” jelasnya lagi.

Katanya, melalui tumbuhan hidupan liar tersebut menyebabkan saiz sungai semakin sempit. “Perkara yang sangat membimbangkan ia boleh menyebabkan risiko kepada pengguna bot jika ada yang melalui kawasan ini, termasuklah pembiakan nyamuk dan menyebabkan banjir berlaku khasnya dalam tempoh tengkujuh ini,” katanya.

Beliau yang juga Adun Dalat berkata, DID Mukah memperuntukkan RM20,000 bagi usaha pembersihan tumbuhan liar menggunakan tongkang. Manakala, Lembaga Sungai-Sungai Bahagian Mukah memperuntuk RM10,000 di kawasan terjejas.

“Kita mahu kerjasama agensi terlibat dan pemimpin masyarakat untuk bersama-sama membersih sungai khasnya melalui usaha gotong-royong,” ujarnya.

Suara Sarawak