Kaki kanak-kanak cedera tersangkut eskalator

KUCHING: Kaki kanan seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas tersangkut di eskalator yang sedang bergerak dalam sebuah pusat beli-belah di Jalan Song, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak Tiong Ling Hii berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari daripada pekerja pusat beli-belah berkenaan.

Katanya sebaik tiba, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Batu Lintang segera memberi rawatan awal ke atas kaki kanak-kanak berusia lapan tahun itu sebelum menghantarnya ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

“Berdasarkan maklumat awal, budak lelaki tersebut berjalan seorang diri di dalam pusat beli-belah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Tiong, ibu bapa kanak-kanak terbabit juga sudah dihubungi bagi memaklumkan kejadian.