Kami kecewa dan marah…

KUCHING: Dakwaan Sarawak bakal muflis dalam masa tiga tahun oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mencetuskan rasa marah dan kesal rakyat.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati rata-rata rakyat melontarkan rasa marah dan kesal kerana ia tidak harus keluar daripada mulut seorang menteri kanan.

Steven Naman, 25, berbangsa Iban dari Bintulu mengakui kecewa dengan kenyataan itu.

“Saya tidak percaya, mustahil untuk Sarawak bankrap untuk jangka masa singkat kerana kita mempunyai pelbagai sumber semula jadi bagi menampung perbelanjaan negeri,” katanya.

Kenyataan tersebut turut mendapat perhatian Jeremy Junior, 18, yang berpendapat, Guan Eng tidak patut mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia memberi gambaran tidak baik untuk negeri ini.

“Sumber Sarawak yang banyak membantu, jangan lupa perkara itu. Kita ada industri minyak dan gas yang boleh menampung belanjawan negeri pada masa akan datang,” katanya.

Sebagai seorang belia, dia merasakan golongan muda patut bangkit mempertahankan Sarawak mengenai isu ini kerana ini melibatkan masa depan Sarawak.

Baginya, Sarawak mempunyai pelbagai alternatif lain dijadikan sebagai sumber pendapatan untuk jangka masa lama.

Pekerja berasal dari Kanowit Sylvester Jimbat 29 berkata, Sarawak tidak mungkin muflis kerana negeri ini ada sumber kewangan yang kukuh.

Dean Mclouis, 22, dari Matang meluahkan rasa kesal atas kenyataan Guan Eng tidak berasas itu.

“Beliau sebagai Menteri Kewangan harus peka dengan tidak mengeluarkan kenyataan seperti itu. Tidak masuk akal kerana beliau seolah-olah memperli Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak.

Fredrick Lawrence, 23, dari Mukah berpendapat kenyataan seakan-akan berunsur fitnah kepada Sarawak dan mengaibkan negeri ini termasuk rakyatnya.

“Mungkin kenyataan tersebut digunakan untuk mempengaruhi pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Menurutnya lagi, seperti perancangan pembangunan pernah dikeluarkan Ketua Menteri seperti pembinaan lapangan terbang di Betong boleh menambah pendapatan baharu untuk Sarawak.

“Anggapan tidak berasas itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang menteri,” katanya.