Kami siap membantu!

KOTA SAMARAHAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Samarahan terus komited membantu masyarakat yang terjejas akibat banjir, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi APM Samarahan, terdapat beberapa kawasan di Bahagian Samarahan terjejas kerana hujan lebat pada tengah malam sehingga pagi semalam.

Malah ia juga telah menyebabkan kawasan yang berisiko dinaiki dan berhadapan dengan situasi banjir.

Ekoran itu, beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga telah dibuka pada hari yang sama (19 Febuari) kerana keadaan hujan lebat yang berpanjangan.

Sehubungan itu, proses pemindahan mangsa-mangsa banjir tersebut turut dijalankan bersama-sama dengan agensi yang lain.

Menurut maklumat daripada APM Samarahan hari ink, pada 19 Febuari terdapat tujuh PPS yang dibuka untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir.

Bagaimanapun, setakat pagi ini juga, hanya tiga PPS yang masih dibuka iaitu di Dewan Suarah Kota Samarahan, Dewan Serbaguna Kampung Entingan dan Balai Raya Kampung Nangka.

Sekiranya terdapat sebarang kecemasan di kawasan Samarahan atau sekitarnya orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Samarahan di talian 082-672999 atau talian kecemasan 999.

Suara Sarawak