Kami tidak pernah berehat

KUCHING: Memenangi lapan kerusi Dun majoriti penduduk Bidayuh masih tidak memadai, kata Adun Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep.

“Apa yang lebih penting, kita mahu orang kita mengambil bahagian dalam keseluruhan bidang pembangunan sosioekonomi termasuk dalam bidang pertanian, pelancongan, perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam komennya mengenai kenyataan Datuk Seri Manyin Jawong bahawa GPS mempunyai keupayaan untuk untuk memenangi kesemua lapan kerusi Dun yang majoritinya didiami kaum Bidayuh pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Manyin, yang juga Menteri Pendidikan, Sains, dan Penyelidikan Teknologi mengeluarkan kenyataan itu apabila ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Hari Gawai di Pusat Persatuan Dayak Bidayuh di sini, Isnin lepas.

Tasik Biru merupakan salah satu kerusi Dun yang mempunyai majoriti kaum Bidayuh.

Tujuh kerusi Dun lain adalah Opar, Serembu, Mambong, Tarat, Kedup, Tebedu dan Bukit Semuja.

Wakil rakyat bagi kerusi Dun tersebut adalah Manyin (Tebedu), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Datuk Roland Sagah Wee Inn (Tarat), Datuk Ranum Mina (Opar), Martin Ben (Kedup), Miro Simuh (Serembu) dan John Ilus (Bukit Semuja).

Henry juga mengulas wakil rakyat berbangsa Bidayuh selama ini bekerja keras dan akan meneruskan usaha mereka untuk menepati janji-janji kerajaan kepada rakyat.

“Saya sendiri tidak pernah berehat sejak hari pertama saya menjadi wakil rakyat. Rakan-rakan seperjuangan saya juga turut begitu.

“Kami semua turun padang dan berjumpa dengan rakyat yang mempunyai latar belakang yang berbeza untuk memahami mereka dengan lebih baik, mendengar isu-isu yang dihadapi, memberi bantuan dan memberikan motivasi kepada mereka.

Beliau berkata, rakyat memerlukan kehadiran mereka dan mereka tidak pernah gagal untuk bersama mereka, terutamanya ketika mereka memerlukan bantuan.

“Kita tidak mahu orang lain untuk memahami mereka tetapi kami sendiri. Sudah tentu kami tidak dapat jamin untuk membantu 100 peratus, tetapi sekurang-kurangnya kami sentiasa berada di sisi mereka,” katanya.

Henry berkata, sistem infrastruktur asas juga hampir disediakan sepenuhnya dan komuniti Bidayuh juga harus bersemangat dari segi sosioekonomi.

Beliau akan membenarkan orang ramai untuk menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan, malah peluang juga akan diberikan oleh Kerajaan Sarawak. “Kita mahu kesemua objektif dapat dicapai dengan sebulat suara. Kita tidak boleh berpecah jika kita mahu mempunyai pelan yang lebih besar untuk rakyat kita,” katanya.

Dalam isu berasingan, Henry berkata tanah asal Bidayuh merangkumi dari Lundu ke Serian mempunyai potensi besar dan menunggu masa untuk diteroka jika sentiasa fokus untuk membangunkannya.

Beliau menegaskan agar komuniti Bidayuh sentiasa menjauhkan diri dan tidak tertarik dengan mana-mana janji-janji manis, terutamanya daripada pihak luar.

“Minat mereka bukanlah untuk orang kita, tetapi hanya permainan. Lupakan sahaja retorik politik. Kita harus berdiki teguh dengan sesuatu yang pasti,”tegasnya.