KUCHING: Sebuah medan niaga bakal dibangunkan di Kampung Buntal bagi merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi
Beliau yang juga ADUN Pantai Damai berkata, hal tersebut telah dibincangkan dan sudah ada dalam perancangan untuk dibangunkan dalam beberapa tempoh ini.

“Ini antara pembangunan yang kita lakukan di kawasan di bawah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi DUN Pantai Damai, khasnya di Kampung Buntal.
“Ia bertujuan meningkatkan ekonomi pendapatan masyarakat, seterusnya menambah baik tahap sosioekonomi penduduk di sini.
“Justeru, saya menyeru agar penduduk setempat mengambil peluang disediakan dengan melibatkan diri dalam aspek pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Karnival Gemilang Damai V di Buntal Esplanad di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan agar Kejiranan Mesra (KJM) di Kampung Buntal untuk menjadikan ‘glamping’ sebagai aktiviti utama di kawasan tersebut.
“Buat promosi dan jadikan ia sebagai program utama di Kampung Buntal bagi menarik pengunjung dari luar kawasan datang ke sini.
“Generasi muda khususnya meminati aktiviti melibatkan keindahan alam semula jadi, maka manfaatkannya sebaik mungkin,” ujarnya.
Sementara, Karnival Gemilang Damai V yang diadakan selama dua hari di Kampung Buntal berlangsung dengan jayanya melibatkan beberapa KJM di kawasan DUN Pantai Damai.
Karnival tersebut bakal diteruskan dan KJM Kampung Salak akan menjadi tuan rumah seterusnya.
Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Hilmy Othman dan lain-lain.





