ARTIKEL

Fazzrudin (tiga kanan) memotong kek bersama ketua masyarakat pada Program Jiwa Komuniti MADANI di Dewan Kampung Paroh, Kuching.

Kampung di Paroh, Sejijak, Sungai Tengah perlukan 30 lampu jalan untuk jaga keselamatan penduduk

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kampung Paroh, Kampung Sejijak dan Kampung Sungai Tengah memerlukan sekurang-kurang 30 lampu jalan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung tersebut.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, berkata pemasangan lampu itu disifatkan sebagai keperluan mendesak untuk menjamin keselamatan kampung berkenaan.

Fazzrudin (tiga kanan) mendengar penerangan daripada seorang pegawai bomba. – Foto: Ramidi Subari

Menurutnya, setiap tahun antara RM300,000 hingga RM400,000 daripada peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) digunakan bagi projek jalan kampung.

“Kita akan membahagikan peruntukan ini mengikut kampung-kampung.

“Di taman-taman, keperluannya kurang mencabar, tetapi bagi kampung-kampung, lampu jalan sangat penting.

“Setiap kampung yang memerlukan akan diberikan antara tiga hingga lima lampu jalan, bergantung kepada keperluan masing-masing,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Jiwa Komuniti MADANI di Dewan Kampung Paroh di sini, hari ini.

Fazzrudin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, turut mencadangkan pemasangan lampu solar kerana ia mudah diurus selain sesuai bagi kawasan yang jauh dari sambungan elektrik.

“Saya cadangkan kepada agensi berkaitan untuk menggunakan lampu solar.

“Jadi mereka masih memperincikan lagi.

“Kerana yang penting, kita mahu lampu solar yang terang, senang diselenggara dan lampu solar yang bertahan lama.

“Jadi mereka sedang mengkaji dan saya masih menunggu lagi maklum balas daripada mereka tentang cadangan menukarkan lampu jalan kepada lampu solar di tempat-tempat yang agak jauh dari sambungan talian elektrik,” katanya.

Fazzrudin turut menyentuh isu berkaitan pengurusan lampu jalan di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR).

“JKR perlu bersedia menerima lampu jalan ini kerana mereka yang akan bertanggungjawab terhadap bil dan penyelenggaraan.

“Ini adalah isu yang perlu kita perhalusi bersama JKR,” tambahnya.

Berhubung status jalan utama di Jalan Matang, Fazzrudin memaklumkan bahawa kemajuan projek tersebut sedikit lambat dengan kelewatan 0.15 peratus tetapi masih pada tahap yang boleh diterima.

Beliau berharap keseluruhan projek Jalan itu dapat disiapkan paling lewat pada hujung tahun depan, walaupun terdapat cabaran dalam pengalihan utiliti.

“Cabaran utama sekarang adalah pengalihan utiliti, bukan daripada bahagian pembinaan.

“Itu merupakan cabaran mereka,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU