ARTIKEL

Ibrahim melancarkan Projek Smart Street Lighting Kampung Nombor Satok di Kompleks Sukan Padang SLPAS Satok sambil disaksikan Ramzi dan tetamu lain. (FOTO RAMIDI SUBARI)

Kampung Nombor Satok kini dilengkapi 579 lampu jalan pintar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 579 unit lampu jalan pintar LED telah dipasang di Kampung Nombor Satok menerusi dua fasa pelaksanaan projek yang bertujuan meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk melalui penggunaan teknologi pintar.

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, projek yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu merupakan antara inisiatif penting dalam memperindah kawasan kampung tradisi di bawah pentadbiran Satok.

“Selain mencantikkan kawasan kampung, projek ini juga membantu meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

“Teknologi yang digunakan membolehkan pemantauan dilakukan secara masa nyata dan memudahkan kerja penyelenggaraan dilaksanakan dengan lebih cepat serta berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Projek Smart Street Lighting Kampung Nombor Satok di Kompleks Sukan Padang SLPAS Satok, Jalan Muhibbah, Sabtu, yang turut dihadiri Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah.

Ibrahim berkata, sistem lampu jalan pintar itu membolehkan pemantauan dilakukan secara dalam talian dan masa nyata menerusi sebuah platform bersepadu yang dapat mengesan sebarang kerosakan dengan segera tanpa perlu menunggu aduan daripada orang ramai.

“Kalau dahulu kita hanya tahu selepas penduduk membuat aduan, sekarang sistem boleh mengesan masalah secara automatik dan pasukan DBKU boleh terus turun membuat pemeriksaan.

“Dalam satu saat sahaja, sistem sudah dapat mengenal pasti jika berlaku gangguan dan tindakan susulan boleh dilakukan dengan lebih cepat,” katanya.

Sistem tersebut turut membolehkan DBKU menjalankan analisis berterusan terhadap prestasi lampu, penggunaan tenaga serta status kerosakan selain mempunyai fungsi kawalan jarak jauh untuk melaras tahap kecerahan atau menghidup dan mematikan lampu secara dalam talian.

Menurut beliau, kemudahan pencahayaan yang lebih baik bukan sahaja membantu meningkatkan tahap keselamatan, malah menggalakkan aktiviti riadah dalam kalangan penduduk dan menjadikan kawasan kampung tradisi lebih menarik kepada pengunjung.

“Dulu jarak antara tiang lampu agak jauh, lebih kurang 150 meter. Sekarang setiap 20 hingga 30 meter sudah ada lampu.

“Penduduk boleh beriadah dengan lebih selesa pada waktu malam dan pada masa sama suasana kampung menjadi lebih menarik serta mesra pelancong,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan teknologi pintar akan terus diperluaskan di kawasan Satok menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Menurut beliau, fasa pertama projek berkenaan dilaksanakan pada Disember 2020 melibatkan pemasangan 210 unit lampu jalan pintar di jalan utama Kampung Nombor Satok termasuk Jalan Patingan, Jalan Muhibbah, Jalan Datuk Ajibah Abol, Jalan Haji Mataim, Jalan Muda Hashim, Jalan Bolhassan, Jalan Patinggi Ali, Jalan Haji Kassan dan Jalan Tanjung.

“Susulan kejayaan fasa pertama, DBKU melaksanakan fasa kedua pada tahun 2024 yang melibatkan pemasangan tambahan 369 unit lampu jalan pintar di lorong-lorong lain sekitar Kampung Nombor Satok dan siap sepenuhnya pada Ogos tahun sama.

“Dengan siapnya kedua-dua fasa tersebut, jumlah keseluruhan lampu jalan pintar yang dipasang di kawasan berkenaan kini mencecah 579 unit, menjadikan Kampung Nombor Satok antara komuniti yang mempunyai liputan lampu jalan pintar paling komprehensif di bawah pentadbiran DBKU,” ujarnya.

Dalam pada itu, Projek RTP Satok Tahun 2025 yang bermula pada Oktober 2025 turut melibatkan pemasangan 42 unit lampu jalan pintar di sebahagian Jalan Green dan Jalan Nanas Barat sebelum siap sepenuhnya pada Februari tahun ini.

Sementara itu, DBKU memaklumkan pemasangan lampu jalan pintar merupakan antara komponen penting dalam agenda pembangunan bandar pintar yang sedang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan tersebut.

Selain lampu jalan pintar, antara inisiatif lain yang sedang diperkasakan termasuk penggunaan meter pintar dan lampu isyarat pintar bagi menyokong usaha DBKU mencapai tahap kedua pembangunan bandar pintar pada masa hadapan.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU