BINTULU: Kampung Nour Iman di Kuala Tatau kini menikmati perubahan ketara hasil pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) yang membawa impak positif dalam pembangunan fizikal serta sosioekonomi penduduk setempat.
Ketua Kaum Kampung Nour Iman, Ramli Tema berkata, inisiatif berkenaan menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti yang sekian lama mengharapkan pembangunan lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“Pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI bukan sahaja mencantikkan persekitaran kampung, malah menyuntik semangat baharu dalam kalangan penduduk untuk terus maju, khususnya dalam bidang ekonomi dan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Projek KAM Kampung Nour Iman oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sempena Program MOTAC Bersama Komuniti @Bintulu, hari ini.
Antara pembangunan utama yang menjadi tarikan ialah pembinaan Anjung Tinjau yang menampilkan arca seni eksklusif seperti Arca Bawal Hitam oleh Kasat Arca serta Arca Udang Galah “River Blues” hasil karya Suhaidi Radzi.

Selain itu, tiga mural turut menghiasi tiang Jambatan Kuala Tatau iaitu bertemakan “Mi Udang”, “Colours of Harmony” dan “Melanau Woman” hasil sentuhan artis Aney Sheikh Ali dari Balai Seni Negara.
Ramli berkata, kemudahan tersebut bukan sekadar memperindah landskap kampung, malah berpotensi menjadi produk pelancongan baharu yang mampu merancakkan ekonomi setempat, khususnya melalui sektor pelancongan komuniti dan inap desa.
Menurutnya, sokongan berterusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dijangka membuka lebih banyak peluang kepada penduduk untuk menjana pendapatan menerusi program inap desa, jualan produk tempatan serta aktiviti kebudayaan.

Tambah beliau, projek berkenaan turut melibatkan penambahbaikan Dewan Serbaguna Nour Iman, pemasangan lampu solar serta pelaksanaan program kraf tangan komuniti yang memberi peluang kepada golongan muda menceburi bidang keusahawanan.
Pembangunan bersepadu itu dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada Kampung Nour Iman, malah turut melibatkan Kampung Seberang Jaya dan kawasan sekitarnya, sekali gus memperkukuh jaringan komuniti secara inklusif dan mampan,”ujar Ramli.



