Kampung Taee juara drama eKelas BI

SERIAN: Wakil kumpulan pelajar Pusat Internet Kampung Taee muncul juara kategori tingkatan dua pertandingan drama eKelas Bahasa Inggeris setelah mengalahkan lebih 400 pelajar daripada 72 pusat internet seluruh negara.

Program perdana yang ditawarkan kepada 72 buah pusat internet di 10 buah negeri itu mempunyai 10,000 jumlah pelajar berdaftar dalam portal eKelas seluruh Malaysia.

Wakil kumpulan pelajar kampung Taee, John Mackwin berkata, beliau teruja setelah diberi peluang menyertai pertandingan drama Bahasa Inggeris eKelas tersebut.

“Saya teruja kerana dapat bekerjasama dengan kawan-kawan yang lain untuk memastikan projek kami berjaya dan menyeronokkan.

“Kami membaca skrip, memahami dan mendalaminya bersama-sama supaya dapat bertutur dengan menggunakan ekspresi yang sesuai,” katanya.

Sarawak mempunyai 21 buah pusat internet di Kuching, Sibu dan Miri.

Program eKelas hasil kerjasama Maxis dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dijalankan di Pusat Internet adalah sebagai hab digital komuniti luar bandar.

Pelajar eKelas pusat internet dari Kampung Taee sentiasa aktif dengan aktiviti yang dianjurkan di pusat tersebut.

Selain muncul juara program eKelas, mereka turut memenangi pertandingan hiasan perayaan.

Tahun lepas turut menyaksikan seramai lapan pelajar dari sini telah memenangi peluang menyertai Kem Cuti Sekolah eKelas yang diadakan di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, program eKelas Maxis telah berjaya mendedahkan pembelajaran digital kepada komuniti di Kampung Taee.

“Kampung Taee adalah contoh terbaik tentang bagaimana sebuah komuniti mengambil peluang untuk memanfaatkan kemudahan teknologi yang ditawarkan kepada mereka.

“Melalui portal eKelas, kita telah berjaya menghubungkan pelajar dengan guru berpengalaman untuk mengakses kandungan pembelajaran yang lebih berkualiti.

“Portal tersebut turut membuka peluang kepada pelajar untuk terus belajar selepas waktu sekolah. “Tambahan lagi, dengan teknik pembelajaran penuh aktiviti sesi tutorial secara langsung, pelajar dapat bekerja secara kumpulan untuk menerokai perkara baharu bersama-sama selain mendapat pelajaran melalui buku,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Gawai yang diadakan di Pusat Internet Kampung Taee. Penghulu Kampung Taee,

Jacques Kantuh berkata, beliau berterima kasih kepada pihak MCMC dan Maxis kerana menyediakan pesekitaran yang kreatif dan inovatif di pusat internet kampung tersebut.

“Penduduk kampung sangat berterima kasih kerana mereka mendapat peluang untuk mengalami pembelajaran digital berhampiran dengan rumah.

“Kini, pelajar di sini telah diberi peluang untuk mengasah bakat, kemahiran dan pembelajaran mereka,” ujarnya.

eKelas merupakan program komuniti perdana Maxis yang bertujuan untuk membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar dalam komuniti luar bandar.

Program tersebut merupakan sebuah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar dari Tahun 6 hingga Tingkatan 5 dengan kaedah pengalaman belajar menyeronokkan dan memberikan kandungan pembelajaran berkualiti kepada mereka.

Kandungan pembelajaran juga telah diselaraskan bersama sukatan pelajaran sekolah Malaysia dengan menumpukan kepada subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Di samping itu, pelajar turut didedahkan kepada pembelajaran melalui pengalaman melalui kombinasi tutorial secara langsung, projek berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital.

Turut diadakan ialah sesi motivasi yang dikendalikan oleh bakat-bakat muda Maxis.