KUCHING: Kerjasama sinergi antara pemaju hartanah terkenal Ibraco Berhad dan Kolej Antarabangsa FAME bukan sahaja membawa impak positif kepada sektor pendidikan, malah mampu melonjakkan ekonomi tempatan.
Demikian menurut Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Datuk Michael Tiang yang menyambut baik pemeterian usaha sama dua syarikat tersebut bagi pembinaan kampus baharu kolej itu.
“Perkongsian ini adalah ‘perkahwinan sempurna’ antara pemain industri pendidikan dan pemaju hartanah. Ia pastinya akan membawa banyak kesan baik bukan sahaja dari sudut pendidikan malah ekonomi tempatan.
“Dalam masa yang sama saya percaya ia akan membawa lebih ramai orang dari luar datang ke Kuching untuk melabur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian (MOU) antara Ibraco Berhad dan Kolej Antarabangsa FAME di Galeri Jualan Ibraco, The NorthBank, di sini, hari ini.

Kerjasama tersebut bagi pembinaan kampus baharu serba canggih Kolej Antarabangsa FAME setinggi tujuh tingkat, di kawasan seluas 60,000 kaki persegi di Tabuan Tranquility, di sini dan dijangka beroperasi pada tahun 2026.
Mengulas lanjut ujarnya, pembinaan kampus yang mampu menampung sehingga 1,500 orang itu juga selaras dengan matlamat Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan mahir dan berpengetahuan tinggi.
Kampus baharu itu bakal mempunyai pelbagai fasiliti moden merangkumi teater kuliah, bilik kelas, bilik latihan kemahiran, bilik akademik, ruang istirahat pelajar seluas 5,000 kaki persegi, makmal multimedia, perpustakaan, gelanggang serta kemudahan sukan dan rekreasi.
Terdahulu, perjanjian perkongsian itu ditandatangani oleh ketua pegawai kewangan Ibraco Berhad, Lily Tang dan Kolej Antarabangsa FAME diwakili oleh pengarah urusannya Eddie Wee.




