BAU: Seorang kanak-kanak warga asing berusia tiga tahun ditemukan meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat dua bangunan di Siniawan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Jawai Francis Kempas, berkata pihaknya menerima panggilan telefon dari Bahagian Kecemasan Hospital Bau sekitar jam 2.20 petang yang memaklumkan perihal kejadian itu.
“Hasil siasatan polis terhadap ibu mangsa, yang merupakan warga Indonesia, mengatakan pada hari yang sama, sekitar jam 8.30 pagi, telah membawa anaknya ke tempat kerja suaminya di tapak pembinaan Siniawan.
“Ibu mangsa tidak menyedari mangsa terjatuh semasa membantu suaminya bekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jawai berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bau dan jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
“Siatasan awal dilakukan mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden terbabit.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini akan diteruskan bagi mengetahui punca kematian mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).




