ASAJAYA: Amalan berkhatan atau juga dikenali sebagai sunat memang sinonim dengan umat Islam namun ia tidak menghalang masyarakat beragama lain untuk melaksanakannya bagi tujuan kebersihan dan kesihatan.
Program Sunathon 2.0 Tahun 2023 yang berlangsung di Masjid Masjid An-Najah Asajaya telah berjaya mengumpulkan 82 kanakkanak bukan sahaja dalam kalangan beragama Islam tetapi juga bukan Islam dari kawasan tersebut.
Peter Melakun, 30, yang datang membawa anaknya berkhatan memberitahu, program sedemikian sangat bagus dianjurkan kerana ia dapat meringankan beban kewangan ibu bapa.
Katanya, berkhatan ini bukan sahaja diwajibkan dalam masyarakat Melayu, tetapi juga mereka yang berbangsa Iban.
“Ini anak pertama saya, dan juga pengalaman pertama membawa anak berkhatan.
Apa yang lebih menyeronokkan adalah anak dapat merasai pengalaman berkhatan beramai-ramai.
“Apabila dimaklumkan dia akan berkhatan, anak saya tiada masalah dan berani.
Untuk menambah keterujaan, saya membeli hadiah buatnya bukan untuk Hari Krismas sahaja tetapi sempena berkhatan ini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Anaknya, Christopher Peter, 12 tahun pula memberitahu, dia sangat teruja kerana terdapat rakan-rakan yang lain juga melaksanakan upacara berkhatan bersama-sama.
“Saya berasa sangat gembira hari ini kerana bukan saya sahaja yang berkhatan tetapi rakanrakan lain juga ada,” ujarnya.
Fazida Zalani, 40, yang juga membawa anak ketiganya berkhatan memberitahu, dia mengetahui program tersebut dari sekolah anaknya.
“Anak-anak saya yang lain berkhatan di klinik swasta, bahkan bayaran juga mencecah hingga kira-kira RM100.
“Bagi saya program berkhatan beramai-ramai ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dan memudahkan urusan anakanak,” katanya.
Tambah Fazida, dia membawa anak ketiganya iaitu Aniq Khairul Rizdwan Jakariya yang baharu berusia 10 tahun untuk berkhatan.
“Diberitahu bahawa dia akan berkhatan hari ini, anak saya kata dia tiada masalah dan mahu melaksanakan amalan ini.
“Mungkin kerana kemeriahan program ini, dia bersama dengan rakan-rakannya juga dimandikan beramai-ramai oleh anggota bomba.
Jadi ia membantu meningkatkan semangat untuk berkhatan,” jelasnya.
Majlis Perasmian Program Sunathon 2.0 Tahun 2023 itu telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Ia juga dianjurkan oleh Panel Penasihat Klinik Kesihatan Asajaya dan Klinik Kesihatan Asajaya dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan, Jabatan Pembedahan Hospital Umum Sarawak, Pusat Jantung Sarawak, Masjid An-Najah Daerah Asajaya, Balai Bomba dan Penyelamat Asajaya serta Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Asajaya.


