Kanak-kanak lelaki maut, basikal bertembung kereta di Desa Ilmu

KUCHING: Seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan di KM3, Jalan Datuk Muhd Musa, sekitar jam 10.30 malam sabtu.

Arif Fahmi Cassidy, 10, disahkan meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat kemalangan terbabit.

Maklumat diterima daripada keluarga mengatakan mangsa meninggal dunia di hospital Umum Sarawak pada jam 6.20 pagi.

Difahamkan mangsa yang berasal daripada Kampung Sindang bersama lima rakannya berbasikal ditepi jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku melibatkan pertembungan dari arah depan sebuah kenderaan dengan basikal milik mangsa.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang menunggang basikal tiba-tiba membuat pusingan U lalu menghala ke arah sebuah kenderaan yang berada di sebelah mereka.

“Pemandu kenderaan cuba mengelak ke kanan namun gagal disebabkan terdapat kenderaan datang dari arah bertentangan menyebabkan pelanggaran secara bertembung berlaku,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pemandu dari arah balik menuju ke Taman Desa Ilmu daripada pejabat kerajaan di Samarahan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.