SIBU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas dipercayai dikelar pada bahagian leher oleh bapa saudaranya dalam kejadian di Jalan Rantau Panjang Jaya, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Abang Zainal, polis menerima laporan berhubung kejadian sebelum menahan seorang lelaki berusia 49 tahun yang dipercayai terbabit.
Menurutnya, beberapa barang kes turut dirampas di tempat kejadian.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Sibu hari ini bagi permohonan reman dan mahkamah membenarkan reman selama enam hari sehingga 4 September bagi membantu siasatan,” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pihak Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian itu.
“Orang ramai juga diminta memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.

