BETONG: Program “KIDS Bits & Bytes” sebagai inisiatif inovatif SeDidik berupaya mendidik anak-anak menjadi pengguna teknologi yang berhemah serta bertanggungjawab sejak awal usia.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Betong (Sektor Pengurusan Sekolah), Nana Linggang Stephen Naga berkata program tersebut membantu anak-anak menjadi mahir menggunakan tablet atau komputer, sekali gus membina asas cara berfikir secara logik dan tersusun.
Menurutnya, pendekatan itu mengajar kanak-kanak menyelesaikan masalah langkah demi langkah, mengenal pola dan berfikir secara teratur.
“Melalui aktiviti yang menyeronokkan seperti mengatur pergerakan robot atau mencipta cerita digital, kanak-kanak diperkenalkan kepada konsep asas pengaturcaraan yang sesuai dengan pembelajaran melalui bermain.
“Lebih penting, inisiatif ini menekankan aspek tatacara penggunaan teknologi yang mendidik anak-anak menjadi pengguna berhemah, selamat dan bertanggungjawab apabila berada dalam dunia digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen SeDidik Zon Betong 2025 di sini.
Sehubungan itu, beliau menghargai inisiatif inovatif SeDidik melalui pelaksanaan Program “KIDS Bits & Bytes” dalam menghadapi cabaran era digital.
“Ini bentuk pendidikan yang seimbang dan berpandangan jauh, membentuk anak-anak bukan hanya sebagai pengguna teknologi tetapi juga sebagai pencipta dan pemimpin digital masa depan,” ujarnya.
Nana menambah, komitmen terhadap pendidikan inklusif juga menjadi tonggak penting dalam pelaksanaan pendidikan SeDidik.
“Sejak 2022, SeDidik telah memperkenalkan pengajaran asas bahasa isyarat sebagai sebahagian daripada usaha memupuk nilai empati dan kepekaan terhadap komuniti pekak.
“Langkah ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang kepelbagaian keupayaan manusia, tetapi juga membina semangat penerimaan dan kasih sayang sejak usia muda.
“Lebih membanggakan, ramai guru SeDidik kini terlatih dalam bahasa isyarat dan menggunakannya secara aktif dalam sesi kitaran masa bersama kira-kira 3,000 anak-anak SeDidik di seluruh Sarawak.
“Inisiatif ini memperkukuh semangat pendidikan untuk semua bagi memastikan setiap anak, tanpa mengira keupayaan fizikal atau komunikasi, diraikan dan dihargai sebagai sebahagian daripada keluarga besar SeDidik.
“Ia mencerminkan nilai keprihatinan dan empati yang menjadi asas kepada masyarakat penyayang dan inklusif seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, seramai 85 kanak-kanak dari 11 buah Tadika SeDidik Zon Betong diraikan.
Pengurus Bahagian Sumber Manusia SeDidik Sarawak, Jelawai Munang dan Pengerusi Kelab Ibu Bapa Tadika SeDidik Betong, Clemen Ipan turut hadir sama.

Sarawak Tuan Rumah Perhimpunan Agung ICOMOS 17 Hingga 24 Oktober Ini
KUCHING: Sarawak bakal menjadi tumpuan komuniti warisan antarabangsa apabila menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik ke-22 Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (ICOMOS) 2026,
