ARTIKEL

Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching, Dr. Johnny Pangkas ketika ditemu-bual di pejabatnya, hari ini. | GHAZALI BUJANG

Kantin sekolah, premis makanan hotel antara ditutup akibat tercemar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lapan kantin dan dapur sekolah, tiga dapur serta premis makanan di hotel antara 78 premis makanan di Kuching termasuk Bau dan Lundu yang diarahkan tutup selama 14 hari oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching setakat Oktober ini.

Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching, Dr. Johnny Pangkas berkata tindakan itu dibuat untuk premis-premis makanan terbabit melakukan pembersihan dan penambahbaikan selepas didapati tidak mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan atau dicemari dengan urungan tikus dan lipas.

“Bagaimanapun, premis yang diarahkan tutup boleh dibuka awal sebelum 14 hari sekiranya mereka sudah mematuhi arahan-rahan pembetulan dan penambahbaikan yang dikeluarkan di bawah Seksyen 10 Akta Makanan 1983 bersama dengan arahan penutupan premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya ketika ditemu-bual di pejabatnya, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata perintah penutupan itu dibuat menerusi 2,059 pemeriksaan premis di Kuching, 177 premis di Bau dan 371 premis di Lundu.

Tambahnya, sebanyak 570 notis kesalahan turut dikeluarkan di Kuching, 31 di Bau dan 38 di Lundu.

Dr. Johnny menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi ke atas pengendali makanan yang didapati mengabaikan kriteria kebersihan yang ditetapkan, antaranya hendaklah menjalani latihan pengendali makanan dan mendapat Sijil Latihan Pengendali Makanan

Selain itu, katanya adalah pemeriksaan kesihatan, dengan pengendali makanan diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan vaksin daripada pengamal perubatan berdaftar sebelum dibenarkan mengendali makanan di premis makanan.

“Pengendali makanan juga perlu memastikan pakaian yang dipakai semasa mengendalikan makanan hendaklah bersih, sesuai dan wajar serta tidak menyumbang kepada apa-apa pencemaran makanan, sebagai contoh memakai baju luar yang bersih, sesuai dan berwarna cerah atau apron berwarna cerah, penutup kepala dan kasut.

“Adalah menjadi tanggungjawab pengendali makanan untuk mengekalkan kebersihan diri pada tahap yang tinggi termasuklah menyimpan kuku yang pendek dan bersih, menanggalkan baju luar atau penutup kepala atau apron sebelum ke tandas, membasuh tangan sebelum memulakan kerja, sebaik selepas menggunakan tandas dan selepas mengendalikan bahan makanan mentah atau apa-apa bahan yang tercemar,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pengendali makanan juga tidak harus melakukan apa-apa kelakuan atau tindakan yang boleh menyebabkan pencemaran makanan contohnya batuk, meludah, menjilat jari, menggaru tubuh badan, menghembus hingus, merokok atau mengunyah tembakau, pinang atau gula-gula getah serta tidak memakai perhiasan diri, jam, pin atau aksesori yang lain.

Dalam pada itu, Dr. Johnny juga menyarankan orang awam agar peka terhadap tahap kebersihan premis-premis makanan dan sekiranya mendapati tahap kebersihan kurang memuaskan, aduan boleh dibuat kepada pihaknya untuk pemeriksaan dan tindakan.

Katanya ia memandangkan amat sukar untuk pihaknya menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ke atas setiap premis dalam satu masa disebabkan kakitangan yang tidak mencukupi.

“Di Kuching sahaja, terdapat hampir 3,000 premis makanan yang berdaftar atau berlesen…belum lagi yang tidak berlesen,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Polis Sahkan Pegawai Kastam Maut Dipercayai Dibunuh Suami

NILAI: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.