KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di hadapan sebuah hotel di Jalan Tabuan Dayak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP, Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 5.45 petang oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hasil risikan berterusan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek membawa kepada penemuan enam bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 5.43 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson memaklumkan nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM597.
Menurut beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan minimum tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali jika sabit kesalahan.
“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 27 Disember 2025 di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau menegaskan, PDRM akan terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah narkotik dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.
Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah menerusi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.

