KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sarawak dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau telah merampas minuman keras dianggarkan bernilai RM190,743 termasuk cukai dalam Operasi Khas Ambang Merdeka 2020 di sebuah premis di pekan Bau pada 30 Ogos lalu.
Pengarah Kastam Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata rampasan melibatkan sebanyak 7,111.22 liter bir yang dianggarkan bernilai sebanyak RM75,624 dengan anggaran cukai sebanyak RM115,119.
“Barangan kes disita dan dibawa ke stor penguatkuasaan Demak Laut untuk simpan
selamat dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah tiga individu yang mengurus pengedaran dan penjualan minuman keras di premis terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan.
Menurutnya, minuman keras itu dijual secara terbuka dan diletakkan bercampur dengan minuman keras yang telah dibayar cukai.
“Pemeriksaan rapi ke atas minuman keras mendapati tiada stem cukai dilekatkan pada minuman keras tersebut.
“Pemilik premis juga cuba mengaburi pihak penguat kuasa dengan menyimpan minuman keras di sebelah premis yang disewa sebagai stor tertutup,” katanya.
Sharifah berkata minuman keras pelbagai jenama tersebut merupakan stok yang baharu tiba untuk bekalan dan pasaran sempena meraikan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di pekan Bau.
Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, di mana jika sabit kesalahan akan didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.an,” katanya.