Kantoi sorok dadah dalam poket seluar

BAU: Taktik dua penganggur menyorok dadah di dalam poket seluar untuk melepasi sekatan jalan raya Op Covid-19 gagal apabila dapat dikesan oleh polis.

Kedua-dua lelaki berusia 38 dan 39 tahun yang beralamat di pekan Bau itu, ditangkap dan serbuk syabu seberat 74.70 gram yang dianggarkan bernilai RM5,000 turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil ditahan oleh sepasukan polis, tentera dan Rela yang menjalankan tugas sekatan jalan raya Op Covid-19 di Kilometer 9, Jalan Bau-Kuching sekitar jam 6.30 petang Selasa lalu.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki mereka tidak menjumpai barang salah namun pemeriksaan lanjut ke atas badan suspek pertama berusia 39 tahun menjumpai dua paket syabu seberat 51.30 gram di dalam poket seluarnya.

“Pemeriksaan ke atas badan seorang lagi suspek turut menjumpai satu paket syabu seberat 23.40 gram di dalam poket seluarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis syabu serta mempunyai rekod kesalahan lampau.

Sehubungan itu, katanya mereka ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952
dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Poge berkata perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah dipohon bermula hari ini sehingga 6 Mei.

Katanya sabit kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 boleh dipenjara seumur hidup dan sebatan.

Manakala kesalahan mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952 boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali atau tidak melebihi sembilan kali.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 pula boleh didenda sehingga RM5000 atau penjara tidak melebihi duatahun dan Perintah Pengawasan tidak kurang dua tahun atau tidak melebihi tiga tahun.