LAWAS: Seorang kru sebuah kapal kargo dikhuatiri lemas apabila dia hilang selepas kapal tersebut karam di Laut Awat-Awat Sundar di sini.
Kejadian itu berlaku ketika kapal kargo terbabit dalam perjalanan membawa batu dari Sipitang menuju ke Brunei.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas telah dikerahkan ke lokasi sejurus selepas menerima laporan tentang kejadian itu kira-kira jam 9 pagi tadi.
“Dalam kejadian itu, enam kru kapal berjaya menyelamatkan diri manakala seorang masih belum dijumpai,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata ketika ini, operasi pencarian sedang giat dilaksanakan melibatkan pasukan bomba, polis dan Pengawal Pantai Sarawak.

