KUCHING: Sebuah kapal nelayan tempatan berjaya dibawa pulang setelah hanyut di perairan Indonesia.
Pengarah Maritim Sarawak, Mohd Khairi Abdul Aziz berkata kapal yang dikendalikan oleh seorang tekong warga Laos itu dilaporkan terputus hubungan dan gagal dihubungi ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia.
Menurutnya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching mendapat maklumat mengenai keadaan kapal itu melalui Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada 12 Jun lalu.
Susulan itu, beliau berkata hasil koordinasi antara pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia, Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) berjaya mengesan serta menunda vesel tersebut ke Pos Angkatan Laut (POSAL) Temajuk bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan sepanjang insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Khairi berkata kapal nelayan itu telah diserahkan kepada pihaknya oleh TNI AL berhampiran sempadan perairan Malaysia–Indonesia di Tanjung Datu.
“Bagi tujuan penyerahan, aset Maritim Malaysia, KM Kota Kinabalu dan PENGAWAL 42 telah digerakkan ke lokasi pertemuan.
“Bot TNI AL bersama vesel tersebut tiba di lokasi pada pagi semalam dan proses penyerahan rasmi VNT kepada aset Maritim Malaysia berjaya disempurnakan,” katanya.
Beliau menambah Maritim Malaysia turut menyalurkan bantuan bekalan diesel sebanyak 300 liter kepada kapal nelayan berkenaan bagi membolehkan pelayaran pulang ke Jeti KOMTAS.

