KAPIT: Bahagian Kapit bakal menyaksikan lonjakan pembangunan signifikan khusus untuk menaik taraf sistem bekalan air dan infrastruktur.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek-projek ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan rakyat Kapit menikmati akses kepada bekalan air bersih dan infrastruktur yang berkualiti.
“Umpamanya bekalan air, kita telah meluluskan RM1.96 bilion untuk kita menaik taraf bekalan air di Kapit dan itu akan meningkatkan aksesibiliti air di seluruh Kapit.
“Kita juga membangunkan beberapa jalan terpenting di sini, termasuk jalan yang menghubungkan Empangan Baleh serta menghubungkan beberapa buah rumah panjang di sepanjang Sungai Baleh,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata dalam usaha memastikan kesejahteraan penduduk, kerajaan negeri turut meluluskan RM122 juta untuk projek penempatan semula di Merirai, yang dijangka dimulakan tahun hadapan.
Justeru, Abang Johari berkata, dengan adanya infrastruktur yang lengkap, ia secara tidak langsung akan membuka peluang kepada komuniti di Kapit, khususnya generasi baharu untuk meningkatkan pendapatan sekali gus menjamin masa depan yang lebih cerah.
“Dalam erti kata lain, sebab di sebalik ini adalah untuk kita meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Kita (Sarawak) sudah berpendapatan tinggi tapi kami perlu melaksanakan banyak lagi aktiviti ekonomi yang memberi pendapatan kepada setiap isi rumah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) akan terus menerima suntikan dana bagi meneruskan projek-projek yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Beliau berharap agar segala perancangan dapat dicapai menjelang tahun 2030, dengan suntikan dana tambahan sebanyak RM1.5 bilion kepada agensi-agensi terlibat.



