ARTIKEL

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada sidang media Persidangan Kejuruteraan Geoteknik Setantau Malaysia 2026 (MRGEC 2026).

Kapit Komponen Penting Aspirasi Sarawak Bateri ASEAN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembangunan infrastruktur di Kapit perlu terus dipertingkatkan seiring peranan bahagian itu sebagai antara pusat utama penjanaan tenaga hijau Sarawak, kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menteri Kerja Raya itu berkata, Kapit kini menjadi lokasi kepada tiga empangan hidroelektrik utama negeri iaitu Bakun, Murum dan akan datang Baleh yang menjadi tunjang kepada aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai ‘Bateri Asean’.

“Sarawak diibaratkan sebagai ‘Battery of ASEAN’. Justeru, jika Sarawak ini bateri kepada rantau ASEAN, maka Kapit boleh dianggap sebagai komponen paling penting dalam bateri itu,” katanya dalam wawancara khas bersama Suara Sarawak, hari ini.

Nanta berkata peranan Kapit sebagai antara pusat penjanaan tenaga hijau turut diperkukuh pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) sejak 2017.

Katanya, pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur membawa perubahan ketara kepada landskap pembangunan di kawasan pedalaman, termasuk pembinaan jalan raya dan kemudahan asas lain.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Kapit itu berkata, sumbangan besar Kapit kepada sektor tenaga itu juga perlu diseimbangkan dengan pembangunan infrastruktur yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat setempat.

“Banyak perubahan sudah berlaku, namun masih terdapat kawasan yang memerlukan akses jalan, bekalan air bersih dan liputan telekomunikasi yang lebih baik.

“Kami sangat mengharapkan pembangunan infrastruktur, khususnya jalan raya, dapat terus dipercepat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap kebanyakan keperluan pembangunan infrastruktur di Kapit dapat dilengkapkan dalam tempoh tiga tahun akan datang, berdasarkan kemajuan semasa projek yang sedang dilaksanakan.

Nanta berkata, pembangunan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui penyediaan kemudahan asas.

“Jalan, elektrik, air bersih dan Internet hanyalah pemudah cara. Yang lebih penting adalah bagaimana kemudahan itu dapat membantu meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat,” jelasnya.

BERITA LAIN

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan

BERITA TERBARU

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan