ARTIKEL

Helikopter PDU yang dikendalikan Kapten Zainol Afiq ketika berjaya mendarat dengan selamat bersama-sama semua kru selepas berdepan cuaca buruk di Miri, setahun lalu.

Kapten Zainol Pernah Selamatkan Kru Ketika Berdepan Cuaca Buruk di Miri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Setahun lalu, nama Kapten Zainol Afiq pernah menjadi perhatian selepas beliau berjaya membawa helikopter yang berdepan cuaca buruk mendarat dengan selamat bersama-sama semua kru di Miri.

Namun, setahun kemudian, kisah yang hampir sama mengenai juruterbang itu kembali menjadi perhatian — kali ini apabila helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) yang dipercayai dipandunya dilaporkan terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Marudi, semalam.

Perbezaannya, jika setahun lalu keluarganya menanti kepulangannya dengan rasa lega, hari ini mereka sekali lagi berdepan debaran, namun dengan penantian yang jauh lebih getir.

Adik ipar Kapten Zainol yang menggunakan nama pengguna Threads @aimnsuhaimi berkata, kakaknya pernah menceritakan bagaimana suaminya berdepan angin kencang ketika penerbangan pada tahun lalu.

“Tahun lepas dia dapat selamatkan semua kru ketika berdepan angin kuat di sana. Berderau sekejap jantung masa kakak cerita dekat kami semua.

“Tapi semalam, Allahu… hanya Allah saja yang tahu. Doakan kakak saya kuat,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Dalam perkongsian sama, dia menyifatkan Kapten Zainol sebagai seorang suami yang baik dan bapa penyayang kepada anak-anak.

Menurutnya, Kapten Zainol merupakan wira dalam kehidupan kakaknya serta seorang bapa yang baik kepada anak-anak mereka.

Pada 28 Ogos 2025, helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang membawa seorang pesakit dari Klinik Kesihatan Long Jeeh, Baram, terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Loji Rawatan Air Lambir, Miri akibat cuaca buruk.

Pesawat berkenaan berdepan angin kencang dan hujan lebat ketika dalam penerbangan menuju ke Miri.

Pegawai Kesihatan Bahagian Miri ketika itu, Dr P. Raviwharmman Packierisamy berkata, sebuah ambulans dari Hospital Miri dikerahkan ke lokasi pendaratan sebelum pesakit dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Tiada kecederaan atau kemalangan membabitkan petugas kesihatan mahupun pesakit dilaporkan susulan kejadian itu.

Semalam, tepat setahun selepas kejadian berkenaan, helikopter Perkhidmatan Doktor Udara sekali lagi dilaporkan terlibat dalam insiden serius apabila terhempas berhampiran STOLport Long Lellang.

Helikopter itu dipercayai menjalankan penerbangan bagi membawa khidmat perubatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman ketika kejadian.

Selain Kapten Zainol, empat lagi individu dilaporkan berada di dalam helikopter terbabit, masing-masing seorang pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan dua jururawat.

Mereka ialah Dr Ainul Baroah Kamaruddin, Pegawai Perubatan; Alexson Adit, Penolong Pegawai Perubatan; serta Debra Moset dan Jessie Paya, masing-masing jururawat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU