Karim gembira Violet sudi ikuti latihan industri

KUCHING: Adun Pending Violet Yong Wui Wui menjalani latihan industri dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak baru-baru ini.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau sangat gembira dengan perkara tersebut dan membuka peluang sama kepada Adun lain.

“Kita mesti bersifat terbuka dalam hal seperti itu dan Violet ditawar kerana mahu memberi pengetahuan mengenai peranan serta tugas kementerian tersebut.

“Dalam persidangan Dun lalu beliau telah mengajukan soalan tetapi didapati ada perkara yang hilang.

“Soalan diajukan itu menunjukkan bahawa pengetahuan tentang kementerian ini adalah kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Perasmian Untuk Program Kuliah di Persidangan Orkid Asia Pasifik Ke-13 (Apoc13) 2019 di sini semalam.

Tambahnya, latihan industri disertai Violet selama enam bulan dan bergantung kepada keperluan.

“Saya tidak boleh meletakkannya seperti mana-mana pelatih lain, kami mempunyai banyak pelatih dalam kementerian.

“Saya rasa Violet mula pada minggu ini, tetapi tidak akan ditempatkan dalam satu tempat yang sama setiap hari,” katanya.

Beliau menjelaskan, beliau dipindahkan ke agensi di bawah kementeriannya seperti Sarawak Kraf, Majlis Seni Sarawak, muzium dan banyak lagi.

“Beliau juga mengikuti kami dalam trip kami keluar negara, sekurang-kurangnya untuk mendapatkan pengalaman atau pandangan (insight).

“Saya harap dia mempunyai penempatan yang baik. Saya mendapat beberapa maklum balas daripada wakil rakyat PH dan GPS yang mahu bersama kami seketika (short stay) untuk memahami peranan dan kerja kementerian ini,” jelasnya.

Suara Sarawak