ARTIKEL

Karim bercakap pada sidang media Borneo Raft Safari di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini. Foto Ghazali Bujang.

Karim harap kebakaran di Taman Negara Niah tidak merebak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap kebakaran yang berlaku di kawasan Bukit Kapur, Taman Negara Niah, semalam, tidak merebak sehingga menjejaskan khazanah hutan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kejadian itu disifatkan sebagai fenomena semula jadi dan perlu dihadapi kerana bukan berpunca daripada perbuatan manusia.

“Ini adalah perkara semula jadi. Selagi kebakaran itu bukan akibat perbuatan manusia, kita perlu berdepan dengan perkara seperti ini.

“Justeru, saya berharap kebakaran ini tidak merebak ke kawasan lain sehingga menyebabkan kemusnahan hutan atau menjejaskan khazanah alam di Taman Negara Niah,” katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas sidang media Borneo Raft Safari di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) telah menutup sementara taman negara berkenaan susulan kebakaran di kawasan Bukit Kapur.

“Saya berharap SFC dengan bantuan pihak bomba dapat menangani keadaan itu bagi mengelakkan kerosakan lebih besar,” ujarnya.

Mengulas mengenai pengunjung yang telah merancang lawatan ke Taman Negara Niah, Abdul Karim menasihatkan mereka supaya mendapatkan perkembangan terkini sebelum meneruskan perjalanan.

“Kalau waktu lawatan anda adalah sekitar tempoh ini, tangguhkan sedikit dan datang pada masa lain. Kita juga amat kesal dengan kejadian ini.

“Ini adalah insiden yang tidak dapat dielakkan dan bukan berpunca daripada kecuaian atau sikap tidak bertanggungjawab pihak di lapangan, tetapi disebabkan fenomena semula jadi,” tambahnya.

Semalam, kebakaran hutan berlaku di Taman Negara Niah dan dipercayai berpunca daripada sambaran petir sehingga menyebabkan pokok di puncak bukit batu kapur terbakar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Jamri Masran berkata, pihaknya telah memohon bantuan Unit Udara Bomba yang berpangkalan di Miri bagi melaksanakan operasi pemadaman menggunakan kaedah water bombing berikutan lokasi kebakaran yang sukar diakses melalui darat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU