ARTIKEL

Nur Aini Yahya. FOTO: MOHD ALIF NONI

Karnival Jom Heboh Kota Samarahan disambut meriah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Buat julung kali membuka tirai di Kota Samarahan, Karnival Jom Heboh disambut meriah apabila pengunjung berduyun-duyun membanjiri tapak acara sejak hari pertama penganjurannya.

Suasana meriah itu menunjukkan sokongan daripada masyarakat tempatan terhadap acara hiburan dan komuniti berskala besar di kawasan mereka.

Bagi penduduk tempatan, kehadiran acara berprestij yang bermula pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 memberi impak positif kepada ekonomi peniaga kecil.

Selain itu, ia turut menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama warga Kota Samarahan dan kawasan sekitarnya.

Kesempatan menikmati pelbagai jualan makanan, pameran interaktif serta aktiviti kekeluargaan dan komuniti memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan pengunjung.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti riadah, hiburan dan pertandingan menarik seperti Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, Kids Colouring Contest, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma serta Zumba Challenge.

Turut diadakan ialah sesi Meet and Greet bersama barisan pelakon drama TV3 dan personaliti TV9, Jom Lokal Jam serta acara kemuncak yang dinanti-nantikan iaitu Konsert Jom Heboh pada malam Sabtu dan Ahad.

Kemuncak acara Konsert Jom Heboh yang bakal menggamatkan suasana pada malam pertama 1 Ogos 2026 menampilkan persembahan daripada Haiza Hanafi, Mariam Saim, Aepul Roza, Fiq Halim, Aweera dan Kristal X.

Malam kedua pula dimeriahkan oleh barisan artis popular antaranya Baby Shima, Wany Hasrita, K.O.I, Syamel dan Marsha Milan bersama-sama ramai lagi penghibur yang bakal memeriahkan pentas.

Selain itu, pelbagai zon gaya hidup termasuk pesta makanan menghimpunkan vendor makanan tular dan tempatan.

Dengan gabungan hiburan, gaya hidup dan perkhidmatan rakyat, edisi kali ini dijangka memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh dan bermakna kepada para pengunjung.

Sehubungan dengan itu, Suara Sarawak berkesempatan menemu bual beberapa pengunjung yang menghadiri Karnival Jom Heboh Kota Samarahan seawal tengah hari ini.

Bagi Nur Aini Yahya, 45, dari Kampung Tanjung Bundung, kepelbagaian pilihan makanan menjadi antara tarikan utama karnival berkenaan.

“Semua makanan yang dijual adalah sangat memuaskan serta harga yang ditawarkan adalah sangat berpatutan untuk rakyat.

“Selain itu, makanan yang disediakan juga panas berasap, dengan pilihan yang pelbagai seperti makanan tempatan sehingga ke pencuci mulut yang tular masa ini,” katanya semasa ditemu bual Suara Sarawak.

Nur Aini Yahya. FOTO: MOHD ALIF NONI

Manakala Nora Yahya, 53, pula berkata, penganjuran karnival itu di Kota Samarahan memudahkan perjalanan mereka sekeluarga kerana berhampiran dengan tempat tinggal.

“Selain waktu tengah hari, kami juga boleh berkunjung ke sini pada waktu malam bersama anak-anak kerana lokasi yang berdekatan sahaja.

“Ini sudah pasti membuat anak-anak teruja kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik untuk seluruh keluarga.

“Kami amat mengalu-alukan karnival sebegini diadakan di sini kerana sebelum ini lokasi penganjuran amat jauh seperti di Semenanjung atau daerah lain,” kongsinya.

Dalam pada itu, Karnival Jom Heboh turut menarik perhatian golongan belia, terutamanya penuntut universiti awam di Kota Samarahan.

Nora Yahya. FOTO: MOHD ALIF NONI

Awangku Hanifah Awang Abdul Rahman, 19, yang merupakan penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, beliau mengetahui penganjuran karnival ini menerusi perkongsian daripada rakannya yang tinggal di kawasan sekitar.

“Saya turut melayari aplikasi media sosial Tiktok bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang karnival ini serta mengetahui aktiviti yang bakal diadakan,” jelasnya.

Selain itu, ujarnya, kepelbagaian makanan yang dijual dan konsert menjadi antara faktor beliau bersama-sama rakannya berkunjung ke karnival tersebut.

“Walaupun hadir untuk membeli makanan, saya tetap teruja dengan penganjuran konsert pada waktu malam nanti.

“Selain konsert, saya juga mendapat tahu bahawa terdapat aktiviti seperti Fun Run yang sudah pasti akan lebih mengeratkan hubungan silaturahim warga di sini,” tambahnya.

Awangku Hanifah Awang Abdul Rahman. FOTO: MOHD ALIF NONI

Sementara itu, Muhammad Nabil Norman, 19, menyifatkan penganjuran karnival berskala besar di Kota Samarahan itu sebagai sesuatu yang unik dan pertama kali diadakan di kawasan tersebut.

“Penganjuran karnival ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan Kota Samarahan kepada orang ramai,” ujarnya.

Penganjuran Karnival Jom Heboh yang diselangi dengan pelbagai pameran, jualan kulinari dan persembahan konsert pada sebelah malam dijangka terus memuncak serta membanjiri Kota Samarahan sepanjang hujung minggu ini.

TAMAT

Muhammad Nabil Norman. FOTO: MOHD ALIF NONI

BERITA LAIN

BERITA TERBARU