LUNDU: Karnival Mini Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Stunggang Melayu Baru menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama komuniti melalui pelibatan penduduk, pertubuhan setempat dan agensi kerajaan dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, program di peringkat akar umbi penting dalam merapatkan hubungan masyarakat serta menggalakkan kerjasama pelbagai pihak bagi melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.
“Saya memberikan sokongan penuh dengan program seperti ini kerana ia merupakan satu usaha yang sangat baik untuk menghimpunkan masyarakat serta menggalakkan kerjasama antara pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program tersebut di pekarangan Surau Al-Amin, di sini, pada Ahad.
Program selama dua hari tersebut menghimpunkan kira-kira 150 penduduk pelbagai peringkat usia menerusi aktiviti sukan dan rekreasi, pertandingan mewarna serta Pertandingan Karaoke Kilauan Emas.
Menurut Azizul, pendekatan tersebut wajar diperluas di kawasan Tanjong Datu bagi mewujudkan lebih banyak ruang interaksi dan pelibatan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Ranting PBB Kampung Stunggang Melayu Baru, Ramdan Mahri atas sumbangan RM15,000 bagi menjayakan penganjuran karnival berkenaan.

