Karnival Pantai Belawai lubuk rezeki penduduk tempatan

TANJUNG MANIS: Karnival Pantai Belawai yang berlangsung secara besar-besaran di Tapak Pesta Belawai bermula 6 hingga 14 Julai ini bakal membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan khususnya peniaga kecil.

Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang berkata, sebanyak 150 gerai jualan disediakan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan masing-masing.

Karnival itu katanya, berperanan sebagai serampang tiga mata, mempromosikan Belawai kepada orang luar di samping menjadi gelanggang mewujudkan persefahaman yang lebih erat dalam kalangan penduduk.

“Ia juga menjadi platform kepada penyatuan hubungan kekeluargaan serta mampu memupuk semangat muhibah dan kekitaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang, kaum dan kepercayaan agama.

“Pada masa sama pesta ini juga membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat menjana pendapatan tambahan menerusi jualan gerai-gerai makanan dan barangan,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Barisan artis terkenal yang akan memeriahkan Karnival Pantai Belawai 2019

Majlis perasmian karnival dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan merasmikan Karnival Pantai Belawai yang berlangsung secara besar-besaran di Tapak Pesta Belawai, 6 Julai ini.

Pada majlis itu katanya, Ketua Menteri akan melepaskan belon sebagai simbolik perasmian karnival, penanaman pokok, menyempurnakan acara sepak mula Kejohanan Bola Sepak Pantai Belawai dan Sukan Rakyat.

“Pada masa yang sama, Abang Jo juga dijangka menyampaikan amanat penting di samping meluangkan masa bersama rakyat Belawai, ” katanya.

Udin berkata, selain artis tempatan, beberapa artis terkemuka tanah air juga akan menghiburkan peminat mereka antaranya, Dayang Nurfaizah, Bob dan Hafiz.

“Dalam pada itu, kita juga menyediakan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung yang bertuah pada hari perasmian.

Pemasangan khemah sudah pun bermula

Sudah pasti kehadiran Ketua Menteri akan menyerikan lagi karnival ini nanti.

“Sehubungan itu, saya mempelawa penduduk hadir beramai-ramai untuk meraikan kehadiran beliau,” katanya.

Acara tahunan ini dianjurkan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang.

Hadir sama, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab.

Orang ramai membanjiri tapak pesta Belawai tahun lepas.

Suara Sarawak