KUCHING: Karnival Tahunan Persatuan 2025 yang turut meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Persatuan Infinite Qi Gong Malaysia mendapat sambutan hangat dengan kehadiran 900 ahli di Tebingan Kuching, semalam.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman berkata, acara penuh warna-warni itu diserikan dengan kehadiran ahli dari pelbagai latar belakang yang mencerminkan jaringan antarabangsa.

“Sambutan ramai ini juga membuktikan penerimaan positif terhadap seni Qi Gong yang dibawa persatuan.
“Karnival ini bukan sahaja menghimpunkan ahli dari seluruh Malaysia malah turut menerima kehadiran peserta antarabangsa dari Singapura, Australia dan Taiwan,” katanya menerusi satu hantaran Facebook hari ini.

Menurutnya, acara yang berlangsung meriah itu turut menampilkan pelbagai persembahan demonstrasi Qi Gong, sesi senaman beramai-ramai serta aktiviti komuniti yang menyemarakkan lagi suasana di Tebingan Kuching.
Beliau menegaskan DBKU sentiasa memastikan setiap komuniti tanpa mengira agama dan bangsa diberi peluang yang sama untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Mereka juga berpeluang menikmati kemudahan dan pembangunan bandar secara inklusif dan harmoni,” jelasnya.



