KOTA SAMARAHAN: Lebih 3,000 pengunjung dijangka memeriahkan Karnival Tok Bok Nyo 3.0 yang berlangsung selama tiga hari di The Summer Mall, di sini bermula 25 hingga 27 September ini.
Bukan sekadar mengetengahkan hiburan, edisi ketiga penganjuran tersebut tampil dengan konsep lebih menyeluruh apabila menggabungkan elemen pendidikan, kerjaya, sukan, warisan, keusahawanan, kreativiti dan kekeluargaan dalam satu program.
Ahli Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kaunselor Junaidi Kadri berkata, pendekatan berkenaan dirangka bagi memastikan karnival dapat menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda.
“Karnival Tok Bok Nyo 3.0 bukan sekadar sebuah program hiburan, malah menjadi platform pembangunan komuniti yang menghimpunkan elemen budaya, pendidikan, kerjaya, sukan, kreativiti dan gaya hidup dalam satu program.
“Melalui pengisian yang disediakan, kita mahu memberi ruang kepada masyarakat, terutama generasi muda, untuk menyerlahkan bakat, membina keyakinan diri serta mengembangkan potensi masing-masing,” katanya pada sidang media Karnival Tok Bok Nyo 3.0 di sini, hari ini.
Menurut Junaidi, golongan pelajar antara kumpulan yang diberi perhatian menerusi Program R.E.M.A.J.A yang memfokuskan aspek pendidikan, kerjaya dan pembangunan potensi diri.
“Bagi golongan belia pula, kita menyediakan pelbagai aktiviti e-sukan dan permainan termasuk Beyblade Tournament, PlayStation Game Tournament, Tournament Esport Karnival Tok Bok Nyo 3.0 serta Mobile Legends: Bang Bang.
“Pengisian sukan dan rekreasi turut tidak dilupakan menerusi Zumba Karnival Tok Bok Nyo 3.0, Aerobathon Duo Ala Kampung, Samarahan Closed Double Darts Competition dan Pertandingan Samarahan Carom,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, peminat automotif dan hobi turut mempunyai ruang tersendiri menerusi Tamiya Mini 4WD Road To Kuching Cup 2026 Challenge serta Super Car Show.
Program Warisan Kita pula mengetengahkan aktiviti komuniti dan jualan produk kraf tangan tempatan, selain Pertandingan Masakan Berasaskan Aneka Sambal dan Program Derma Darah yang memberi penekanan kepada aspek kemasyarakatan.
Junaidi berkata, lebih 1,000 peserta dijangka mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang tiga hari karnival berkenaan.
Karnival Tok Bok Nyo 3.0 dianjurkan MPKS dengan kerjasama Skuad Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Samarahan, Pusat Khidmat N16 Muara Tuang, Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan dan The Summer Shopping Mall.
Majlis perasmian dijadualkan berlangsung pada 25 September, jam 3 petang, dan akan disempurnakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang, Datuk Idris Buang.
Majlis penangguhan pada 27 September pula akan dirasmikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.




