ASAJAYA: Lebih 400 acara dan program dilaksanakan atau mendapat sokongan menerusi dua dana kementerian di Sarawak sepanjang tahun ini, termasuk inisiatif pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran penggiat industri kreatif.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah tersebut mencerminkan pelaksanaan pelbagai program yang bukan sahaja tertumpu kepada penganjuran acara, malah turut memberikan perhatian kepada pembangunan industri kreatif negeri.
Menurutnya, lebih 300 acara mendapat sokongan menerusi dana penganjuran acara sehingga September lalu, dengan jumlah itu dijangka meningkat kepada sekitar 350 menjelang akhir tahun.
“Jika kita mengambil kira program di bawah kementerian saya sahaja, jumlah keseluruhan acara dan program yang disokong pada tahun ini melebihi 400 acara.
“Bayangkan, dalam setahun kita hanya mempunyai 365 hari, tetapi jumlah acara yang dilaksanakan atau disokong sudah melebihi 400,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Menyemai Bakti Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Kali Ke-25 di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, selain dana penganjuran acara, kementeriannya turut menyediakan satu lagi dana bagi membantu penggiat industri kreatif meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran dalam bidang masing-masing.
Menurutnya, inisiatif tersebut memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan bakat, terutama dalam kalangan belia yang berkecimpung dalam industri kreatif.
“Pelaksanaan program menerusi kedua-dua dana itu menyumbang kepada jumlah keseluruhan acara yang melebihi 400 sepanjang tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, pelbagai program kemasyarakatan turut dilaksanakan secara berterusan oleh wakil rakyat, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ahli majlis di seluruh Sarawak.
Menurutnya, penganjuran program sedemikian merupakan antara usaha berterusan pelbagai pihak untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Sementara itu, beliau turut menyambut baik penganjuran Program Menyemai Bakti IKMAS Kali Ke-25 yang melibatkan 56 pelajar menerusi program anak angkat di sekitar Asajaya dan Sadong Jaya.
Katanya, program tersebut memberikan peluang kepada bakal graduan IKMAS untuk memahami kehidupan masyarakat secara langsung melalui pengalaman tinggal bersama keluarga angkat masing-masing.
Selain itu, peserta turut menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk pengagihan makanan, bakul makanan dan bantuan kepada golongan asnaf.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan di Asajaya atau diperluas ke kawasan perkampungan lain pada masa hadapan bagi memberikan lebih banyak peluang kepada pelajar mendekati masyarakat.




