ARTIKEL

Karya menarik tentang Adenan Satem

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

NIAT ingin memperingati perjuangan bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan), seorang bekas wartawan yang berkhidmat lebih daripada 50 tahun berjaya membukukan perjalanan hidup Tok Nan sebagai momento.

Dalam tempoh tiga sehingga enam bulan, James Alexander Ritchie yang merupakan veteran dalam dunia kewartawanan berjaya menghasilkan satu karya menarik yang bertajuk ‘The Legacy of Adenan Satem’.

Menerusi buku tersebut, beliau menceritakan kronologi kehidupan bekas ketua menteri yang suatu ketika dahulu disegani oleh orang ramai dalam dan luar negeri.

Menurutnya, buku yang mempunyai 110 muka surat itu tidak sukar untuk ditulis kerana tumpuan hanya untuk menceritakan kisah hidup Tok Nan, yang juga merupakan rakan karibnya.

“Saya sudah mengenali Allahyarham Tok Nan sekitar 35 tahun, jadi pencarian maklumat untuk mengisi kandungan buku ini tidak sukar.

“Maklumat yang diguna pakai juga berdasarkan kejadian yang sememangnya berlaku dan disaksikan sendiri oleh saya ketika berkhidmat sebagai wartawan.

Begitu juga gambar, perbualan dan semua yang berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis pelancaran buku ‘The Legacy of Adenan Satem’ di Hotel Telang Usan, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Alexander mendedahkan bahawa 100 salinan buku tersebut dicetak untuk diagihkan kepada orang ramai yang hadir pada majlis tersebut.

“Buku yang baru sahaja diterbitkan ini hanya dicetak sebanyak 100 salinan dengan tujuan untuk menjadikan ia sebagai momento bagi memperingati Tok Nan.

“Semua buku ini dibeli untuk diedarkan kepada orang ramai (hari ini) kerana beliau (Tok Nan) sangat baik dengan saya, oleh itu saya agihkan ia secara percuma,” jelasnya.

Tambahnya lagi, setiap yang hidup pasti akan pergi dan dilupakan tidak kira pangkat.

Justeru, usaha tersebut menjadi satu inisiatif Alexander bagi memastikan Allahyarham Tok Nan akan sentiasa diingati sampai bila-bila.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU