TATAU : Kasihnya Warisan milik pasukan N58 Balingian dinobatkan sebagai Raja Sungai dalam Mini Regata Tatau 2023 sempena Pesta Tatau 2023.
Pasukan N58 Balingian itu menewaskan rakan sepasukannya, pasukan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Waris Bujang Vaie, TLB Balingian dalam kategori Pekayuh 30 Lelaki Raja Sungai untuk membawa pulang wang tunai RM16,000 dan trofi kejohanan.
Hadiah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai kepada pengurus pasukan, Ardyman Matan.
Cahaya Kekal, sebuah lagi bot yang berdaftar di bawah Pasukan N58 Balingian terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan menerima wang tunai RM5,000 serta sebuah trofi.
Tempat ketiga dimenangi pasukan Waris Bujang Vaie yang membawa pulang wang tunai RM3,000 dan sebuah trofi.
Manakala, Balingian Jati milik TLB Balingian dan BDA Bintang Terang Satu masing-masing di tempat keempat dan kelima.
Turut hadir menyaksikan perlumbaan perahu itu isteri Sikie, Datin Melia Gelen, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu Datuk Haidar Khan Asghar Khan, Pengurus Besar BDA Datuk Muhamad Yakup Kari dan pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan.
Mini Regata Tatau kembali diadakan selepas 13 tahun dihentikan dan merupakan antara salah satu daripada 45 acara yang dimasukkan ke dalam aktiviti Pesta Tatau 2023.