BINTULU: Taktik mengikrarkan bungkusan sebagai bahan keperluan haiwan gagal mengaburi pihak berkuasa apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 80.356 kilogram (kg) syabu bernilai RM4,017,816.50 di sebuah premis di bandar raya Bintulu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya, berkata rampasan itu dilakukan hasil maklumat risikan pada 28 Ogos lalu.
Menurutnya, sepasukan pegawai daripada Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM kemudian menjalankan pemantauan terhadap beberapa bungkusan yang dihantar ke sebuah premis di bandar raya berkenaan.
“Bungkusan itu diikrarkan sebagai produk keperluan haiwan dan disyaki mengandungi dadah berbahaya.
Pemantauan dan intipan dijalankan selama 12 hari bermula 28 Ogos lalu, namun tiada individu tampil untuk menuntut bungkusan berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan mengandungi ketulan mampat disyaki syabu atau methamphetamine.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk membawa masuk dadah berkenaan ke Bintulu dengan menyamarkannya sebagai barangan dagangan.
“Maklumat penerima yang digunakan dipercayai tidak wujud bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Norizan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.
Sekiranya hukuman yang dikenakan adalah penjara seumur hidup, pesalah hendaklah turut dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menggesa orang ramai membantu JKDM membanteras kegiatan penyeludupan membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, dan kenderaan.
Menurutnya, kegiatan berkenaan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh menyalurkannya kepada JKDM menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri.
“JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

