ARTIKEL

Abdul Karim merakam kenangan selepas sidang media Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-25 di Kuala Lumpur, hari ini.

Kategori Lagu Borneo Terbaik AIM25 Iktiraf Budaya, Bahasa, Warisan Muzik Sabah, Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pengenalan kategori Lagu Borneo Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) membuka lembaran baharu buat industri muzik Sarawak apabila karya berteraskan budaya, bahasa serta identiti Borneo buat pertama kali diberikan pengiktirafan di pentas muzik paling berprestij negara.

Kategori baharu itu bukan sahaja memperluas peluang kepada lebih ramai penggiat muzik dari Borneo untuk menyerlah di peringkat nasional, malah mengangkat muzik etnik dan budaya tempatan sebagai sebahagian daripada identiti muzik Malaysia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengenalan kategori tersebut amat dialu-alukan kerana ia menjadi simbol pengiktirafan kekayaan budaya, bahasa dan warisan muzik Sabah serta Sarawak.

“Kategori ini bukan sahaja membuka ruang kepada lebih ramai bakat dari Borneo untuk diketengahkan di peringkat nasional.

“Malah, memperkukuh kedudukan muzik etnik dan budaya tempatan sebagai sebahagian daripada identiti muzik Malaysia,” katanya pada sidang media AIM25 di Volume KL, The Arch Galleries, di sini, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak percaya bidang seni dan budaya bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara, bahkan merupakan aset strategik yang mampu merangsang pembangunan ekonomi.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran seluruh warga industri muzik ke Kuching pada bulan depan, sambil berharap AIM25 menjadi pentas memperkenalkan keindahan serta keunikan Sarawak kepada seluruh negara.

Selain Lagu Borneo Terbaik, AIM25 turut memperkenalkan kategori Lagu Perayaan Terbaik, yang mengiktiraf karya muzik berteraskan sambutan pelbagai perayaan di Malaysia serta nilai perpaduan dalam masyarakat majmuk.

Pengenalan kedua-dua kategori baharu itu mencerminkan komitmen AIM untuk terus meraikan kepelbagaian landskap muzik Malaysia, mengiktiraf identiti budaya dan tradisi muzik yang membentuk industri kreatif negara.

Sebanyak 33 kategori anugerah dipertandingkan tahun ini meliputi 25 kategori utama dan khas serta lapan kategori praanugerah.

Dalam pada itu, pencalonan dibuka kepada lagu dan album dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina serta India yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025 dengan tempoh pencalonan bermula 16 Julai hingga 6 Ogos 2026.

AIM25 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 26 September depan turut menyaksikan TVS dilantik sebagai penyiar rasmi dan hos bersama, sekali gus menandakan kali pertama anugerah berprestij itu dianjurkan di Sarawak.

Tamat//

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Perintah Sarawak melanja sekula anak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg datai bejadi Pengawa Nyua Pemer i Perintah Sarawak ngagai waris staf Servis L utur