ARTIKEL

Wilfred Yap bersama Amy Lee (kiri), Penasihat KATSN Datuk Sim Kiang Chiok (kiri dua) dan Datin Diana Leong.

KATSN bantu golongan khas bina keyakinan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Golongan berkeperluan khas perlu diberi peluang membangunkan kemahiran, membina keyakinan diri dan berdikari, bukan sekadar menerima bantuan ketika berdepan kesukaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, pendekatan itu dapat dilihat menerusi usaha Persatuan Pembangunan Bakat dan Kebajikan Keperluan Khas Kuching (KATSN) menyediakan ruang untuk golongan berkenaan mengetengahkan bakat dan menghasilkan produk bernilai.

Inisiatif seperti Gifted Art Gallery, Gifted Kitchen dan jualan barangan keluaran mereka membolehkan individu berkeperluan khas mempamerkan kebolehan serta mempelajari kemahiran untuk meningkatkan tahap berdikari.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke KATSN Gifted Art Gallery sempena sambutan Pesta Pertengahan Musim Luruh di Plaza Merdeka, di sini.

Wilfred Yap bersama Penasihat KATSN Datuk Sim Kiang Chiok, Datin Diana Leong (kanan dua) dan Amy Lee.

Wilfred berkata, masyarakat juga perlu melihat potensi golongan berkeperluan khas dan tidak hanya membantu ketika mereka berdepan masalah.

Menurutnya, usaha KATSN membangunkan bakat melalui seni, muzik, sukan, aktiviti kulinari, kraftangan dan kemahiran praktikal wajar terus mendapat sokongan masyarakat.

Sehubungan itu, Wilfred menggalakkan orang ramai mengunjungi Gifted Art Gallery di Plaza Merdeka bagi mengenali artis yang terlibat, menghargai hasil karya serta menyokong inisiatif berkenaan dengan membeli karya seni, kuih bulan dan barangan lain yang dijual.

Wilfred Yap bersama artis Alister Sim (kanan dua) serta hasil lukisannya, The Rooster, Penasihat KATSN Datuk Sim Kiang Chiok (kanan) dan Datin Diana Leong (kiri).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KATSN, artis, ibu bapa, penjaga, sukarelawan dan pihak Plaza Merdeka atas usaha menjayakan pameran berkenaan.

Wilfred berkata, usaha sedemikian penting dalam membentuk masyarakat Sarawak yang lebih inklusif dengan memberi peluang kepada setiap individu mengembangkan kebolehan, menyumbang kepada masyarakat dan menjalani kehidupan dengan bermaruah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU