ARTIKEL

Hanifah, Yakub dan Royston merakam kenangan semasa Kaul Seraheng Kakan hari ini.

Kaul Mukah dijangka tarik 30,000 pengunjung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Sambutan Kaul Mukah tahun ini dijangka mencatatkan kehadiran memberangsangkan apabila dianggarkan seramai 30,000 pengunjung memeriahkannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata angka tersebut sekali gus menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah itu dicapai hasil pelbagai pembaharuan dan kelainan yang diperkenalkan dalam penganjuran Kaul Mukah kali ini.

“Tahun ini juga, kita melakukan penambahbaikan seperti perubahan susun atur kawasan Kaul Mukah bagi meningkatkan keselesaan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kaul Seraheng Kakan di Tapak Kaul Tugek di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yakub yang juga Presiden Persatuan Melanau Mukah memberitahu sebelum ini gerai komuniti disusun secara berasingan dan terdedah kepada cuaca panas.

Ujarnya, kini terdapat khemah besar yang disediakan bagi menempatkan semua gerai dalam satu kawasan sekali gus mewujudkan suasana lebih teratur serta menarik dan memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa perancangan jadual penganjuran yang tidak bertindih dengan acara lain turut membantu menarik lebih ramai pengunjung ke Mukah pada tahun ini.

Sementara itu, ADUN Tellian, Royston Valentine berkata peningkatan jumlah pelancong saban tahun memberi kesan langsung kepada permintaan terhadap kemudahan penginapan di daerah ini.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan hotel sedia ada sering penuh sepanjang berlangsungnya Kaul Mukah.

“Pihak kami turut merancang untuk menambah kapasiti penginapan melalui beberapa projek pembangunan baharu termasuk pembinaan pasar baharu yang turut dilengkapi kemudahan hotel.

“Selain itu, pembangunan Mukah Central juga dijangka menyediakan kemudahan penginapan tambahan bagi menampung keperluan pelancong pada masa hadapan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Royston turut menegaskan bahawa Kaul Seraheng Kakan merupakan antara acara utama dalam Kaul Mukah yang membawa makna mendalam kepada masyarakat Melanau.

“Kaul bukan sekadar pesta, tetapi simbol penghargaan masyarakat terhadap alam dan warisan budaya yang perlu dipelihara,” tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU