MUKAH: Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik yang mengetengahkan keunikan budaya dan tradisi masyarakat Melanau bakal menemui orang ramai pada Kaul Mukah 2026.
Menurut ADUN Balingian merangkap Pengerusi Persatuan Melanau Mukah (PMM), Abdul Yakub Arbi berkata, dengan adanya pengisian tersebut, ia berpotensi untuk menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Sarawak.
“Kali ini, penganjurannya dirancang secara menyeluruh bagi memastikan elemen warisan, kebudayaan dan pelancongan dapat ditonjolkan.
“Kita berharap agar lebih ramai pengunjung yang datang, agar dapat memperkenalkan budaya masyarakat Melanau kepada mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, Kaul Mukah kali ini akan bermula pada 25 April dengan upacara tradisi Serahang Kakan menjadi simbolik pembukaan rasmi.
Jelasnya, upacara tersebut melibatkan perarakan perahu berhias yang membawa ‘serahang’, menelusuri Sungai Tellian sehingga ke Muara Batang Mukah menuju ke Tugek Kala Mukah.
Sehubungan itu, Yakub turut menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama hadir memeriahkan Kaul Mukah 2026.


Antara aktiviti menarik yang dirancang adalah seperti pertandingan teluwaih jinih, lumba bidar lukut, bermukun, masakan Melanau serta persembahan pentas kesenian dan kebudayaan.
Selain itu, gerai komuniti turut menyediakan pelbagai makanan dan minuman tradisional Melanau serta sajian kaum yang lain sebagai daya tarikan kepada pengunjung.
Tambah Yakub, terdapat juga persembahan kesenian dan kebudayaan melibatkan artis tempatan serta persembahan tradisional.




