ARTIKEL

SEMANGAT....Salman merakam kenangan bersama-sama yang lain semasa membuat anyaman.

Kaul Mukah: Tradisi Gual Canang Diteruskan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Keunikan adat dan budaya masyarakat Melanau terus terserlah melalui amalan ‘gual canang’, satu tradisi turun-temurun yang menjadi medium pemberitahuan.

Gual canang merupakan satu kaedah tradisional yang digunakan oleh masyarakat Melanau bagi memaklumkan penduduk kampung tentang penganjuran ritual penting seperti Kaul Seraheng Kakan.

Menurut Bapa Kaul, Edmund Salman Tuna, tradisi ini dianggap antara warisan budaya utama kaum Melanau yang masih kekal diamalkan sehingga ke hari ini.

“Dalam konteks masyarakat Melanau, Kaul bukan sekadar perayaan, tetapi membawa makna yang lebih mendalam sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan Yang Maha Esa serta makhluk yang dipercayai menjaga laut, darat dan alam sekitar.

“Walaupun berakar daripada kepercayaan tradisional, amalan ini turut disesuaikan dengan pegangan agama pada masa kini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Sarawak sememangnya kaya dengan kepelbagaian budaya, namun setiap etnik mempunyai identiti tersendiri.

Jelasnya, bagi masyarakat Melanau, gual canang dan Kaul merupakan antara simbol penting membezakan mereka daripada kaum-kaum yang lain.

Sehubungan itu, Salman berkongsi, tujuan utama gual canang adalah untuk memberitahu penduduk kampung agar bersama-sama menyertai aktiviti dan persiapan ritual Kaul Seraheng Kakan.

“Ia juga berperanan sebagai seruan rasmi supaya setiap ahli komuniti mengambil bahagian dalam usaha menjayakan adat tersebut,” ujarnya.

Salman turut memberitahu, terdapat pantang larang yang perlu dipatuhi oleh masyarakat ketika gual canang berlangsung.

Antaranya, orang ramai tidak dibenarkan mengganggu, mengejek atau memanggil individu yang melakukan gual canang.

Tindakan tersebut boleh mengganggu gual canang diadakan dan mereka yang melanggarnya akan dikenakan hukuman atau denda.

Malah, individu yang melanggar pantang larang ini berdepan hukuman tradisional seperti dikenakan denda satu emas, sebilah lembing dan seekor ayam.

Peraturan ini turut terpakai semasa hari Kaul Seraheng Kakan – Bapa Kaul mempunyai kuasa penuh sepanjang berlangsungnya upacara tersebut.

Tambah Salman, sepanjang tempoh dari terbit hingga terbenam matahari pada hari Kaul, bapa Kaul berperanan sebagai pemimpin tertinggi dalam pelaksanaan adat, termasuk menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang melanggar pantang larang.

Sementara itu, Tukang Gual Canang Sering Butung, berkongsi pengalamannya dan memberitahu bahawa pelibatannya bermula apabila tiada individu lain yang sanggup meneruskan tradisi tersebut.

Menurutnya, pada peringkat awal, beliau berasa gugup dan kurang yakin, namun tetap meneruskan tanggungjawab demi memastikan warisan itu tidak terhenti.

“Cabaran utama masa kini adalah kekurangan pelapis dalam kalangan generasi muda yang kurang berminat untuk memikul tanggungjawab tersebut.

“Individu yang melakukan gual canang tidak semestinya perlu memiliki suara yang kuat, sebaliknya perlu mempunyai keyakinan dan kesungguhan dalam diri,” katanya.

Menyentuh perjalanan gual canang, katanya ia bermula sekitar 7 malam dari kawasan Tellian Ulu hingga ke Tellian Tradisi, meliputi seluruh kawasan kampung bagi memastikan semua penduduk menerima maklumat yang disampaikan.

“Dalam aspek lain, terdapat juga perubahan kecil dalam pelaksanaan tradisi ini, termasuk penggunaan pengangkutan moden berbanding kaedah lama seperti mengayuh perahu.

“Namun, kaedah pukulan canang masih dikekalkan agar tidak menyimpang daripada amalan asal,” jelasnya.

Ujarnya, walaupun teknologi moden seperti rakaman audio boleh digunakan, gual canang secara langsung tetap dianggap lebih autentik dan bermakna.

Pada masa yang sama, ia memberi peluang kepada generasi muda untuk melihat dan memahami sendiri keunikan budaya tersebut.

Dalam pada itu, usaha melahirkan pelapis baharu amat penting bagi memastikan kesinambungan tradisi gual canang dan Kaul.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU