KUCHING: Bermula 1 Julai 2026, semua urusan di kaunter perkhidmatan pelanggan di Ibu Pabat Sarawak Water akan dipindahkan sepenuhnya ke Pusat Service Sarawak UTC Kuching, sekali gus menamatkan operasi kaunter tersebut di lokasi lama.
Sarawak Water dalam satu kenyataan berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan dan penyelarasan perkhidmatan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian kepada pelanggan.
“Ini bagi memastikan pelanggan mendapat kemudahan yang lebih bersepadu, mudah diakses serta mesra pengguna,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, kaunter Khidmat Pelanggan di Ibu Pejabat Sarawak Water tidak lagi beroperasi bermula 1 Julai 2026.
“Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah urusan pertanyaan, aduan, semakan akaun, pembayaran bil serta perkhidmatan lain berkaitan bekalan air.
“Pemindahan ini bertujuan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan agar lebih efisien dan tersusun, selain memberikan keselesaan kepada pelanggan yang berurusan di satu pusat perkhidmatan yang lebih bersepadu,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu lagi, waktu operasi di lokasi baharu adalah mengikut waktu operasi rasmi Pusat Service Sarawak UTC Kuching.

