Kawasan perkuburan lebih teratur dan selamat

LIMBANG: Urusan menziarahi serta pengebumian menjadi lebih mudah setelah setelah siapnya projek menaiktaraf tapak perkuburan Kampung Gadong.

Ketua Kampung Gadong Tasat Bujang berkata, tapak perkuburan itu sudah lama digunakan oleh penduduk kampung serta kampung yang terdekat.

Ujarnya, tapak perkuburan berkenaan terletak di atas bukit sekali gus menyukarkan penduduk melakukan pengebumian serta ziarah terutamanya pada musim hujan.

“Paling utama ialah keselamatan mereka yang datang ke tanah perkuburan tersebut kerana terdapat curam serta berada di atas puncak bukit berisiko untuk tergelincir dan terjatuh.

“Justeru tapak perkuburan yang baharu dinaiktarafkan dan ia berada di bawah bukit.

“Ini akan memudahkan lagi urusan penduduk,” katanya semasa Majlis Penyerahan Siap Kerja dari Jabatan Pengairan dan Saliran, hari ini.

Menurut Tasat, projek naik taraf tersebut juga bertujuan untuk penyusunan semula kubur agar menjadi lebih teratur.

Katanya, penyusunan semula ini dilihat menjimatkan ruang kawasan di samping keadaan sekeliling kubur menjadi lebih indah.

“kita tahu, penjimatan ruang tanah perlu dilakukan disebabkan kawasan tanah menjadi semakin terhad.

“Selain itu, saya juga mahu kawasan kubur menjadi satu kawasan yang indah dengan landskap yang teratur kerana ia merupakan rumah kedua dan terakhir bagi kita nanti,” jelasnya.

Projek tersebut di bawah Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah melalui program RTP yang berjumlah RM 100,000.

Projek ini melibatkan pembinaan sistem pembentungan dan menembok tanah seluas satu ekar lebih.

Hadir sama Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Nor Annie Shazwanie Yahya dan wakil Pusat Khidmat P221 Limbang Fatin Adenan dan wakil Hanna Enterprise.

Suara Sarawak