KUCHING: Pelibatan aktif komuniti setempat dilihat penting dalam membantu proses pewartaan Air Terjun Three Sisters di Ulu Baram sebagai kawasan terlindung sepenuhnya terutama sekali menerusi sesi libat urus dan pengesahan tuntutan hak adat Bumiputera.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata terdapat lapan kampung terdiri daripada komuniti Kayan, Kenyah dan Penan melibatkan 4,550 penduduk telah dikenal pasti sebagai pemegang taruh.
“Justeru, mereka digalakkan untuk terlibat dalam proses pewartaan dengan hadir semasa sesi libat urus yang dianjurkan oleh Perbadanan Hutan Sarawak (SFC).
“Mereka juga disarankan untuk mengemukakan tuntutan hak adat Bumiputera yang sahih dan keistimewaan sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 12, Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi, 1998 sekali gus disokong oleh dokumen berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, tambahnya, pewartaan kawasan tersebut sebagai kawasan terlindung sepenuhnya akan memberi manfaat dari segi pengurusan yang terurus dan mampan, perlindungan sumber alam serta pemuliharaan biodiversiti.
“Komuniti setempat yang berhak boleh terus menjalankan aktiviti yang dibenarkan seperti termaktub di dalam jadual kedua termasuk memungut hasil hutan bukan kayu untuk kegunaan sendiri.
“Selain itu, komuniti juga boleh terlibat di dalam industri ekopelancongan seperti menyediakan perkhidmatan inap desa, pemandu taman (park guide), kraftangan dan lain-lain,” ujarnya.
Terdahulu, beliau memaklumkan, SFC ketika ini dalam proses penyediaan cadangan pewartaan Taman Negara Bukit Keluan yang merangkumi air terjun The Three Sisters berkeluasan kira-kira 1,619 hektar yang melibatkan lapan kampung berkenaan.
Menurutnya, beberapa siri penilaian biodiversiti juga telah dijalankan sepanjang 2025 untuk menilai kepelbagaian sumber biodiversiti di kawasan cadangan tersebut.
“Dapatan awal penilaian telah merekodkan tidak kurang daripada 66 spesis fauna dan 142 spesis flora yang menunjukkan kawasan tersebut kaya dengan kepelbagaian sumber biodiversiti.
“Kawasan cadangan ini masih di dalam proses verifikasi status tanah dan cadangan pewartaan dijangka akan siap disediakan pada suku ketiga 2026 setelah sempadan kawasan cadangan dimuktamadkan.
“Pelan pembangunan kawasan tersebut akan disediakan setelah proses pewartaan selesai,” jelasnya.

