Tiba masanya SPM diganti kaedah baharu

KUCHING: Sudah tiba masanya satu sistem yang lebih bersifat seperti penilaian berterusan atau kaedah lain dilaksanakan dalam pendidikan negara, kata Profesor Datuk Dr. Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Menurut Pengerusi Pusat Kepimpinan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu, apa yang sedang melanda negara dan dunia pada waktu ini harus dijadikan iktibar buat penggubal dasar sistem pendidikan negara.

“Di sinilah kaedah penilaian berterusan seharusnya mula diperkenalkan tanpa terlalu menumpukan jumlah peratusan markah yang besar dan mutlak dengan hanya berpaksikan dan ditentukan ta oleh pencapaian dalam peperiksaan seperti SPM sahaja.

“Peperiksaan seperti SPM yang dijalankan secara berpusat sudah boleh digantikan dengan kaedah penilaian lain yang tidak lagi dilakukan secara berpusat seperti mana yang diamalkan pada waktu ini,” katanya yang dihubungi .

Beliau mengulas mengenai cadangan Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen agar peperiksaan SPM 2020 yang dijadual suku pertama tahun ini dibatalkan dan sijil SPM diberikan kepada pelajar berdasarkan penilaian ujian terdahulu.

Menjelas lanjut Mohd Fadzil berkata, bukan hanya isu pandemik Covid-19 sahaja yang menjejaskan peperiksaan berpusat itu malah ancaman banjir yang berlaku saban tahun turut memberi kesan terhadap pelajar yang menduduki peperiksaan berpusat seperti SPM. “Ironinya, kita semua sedia maklum dengan cabaran ini.

Kita masih tetap berterusan melaksanakan peperiksaan berpusat seperti SPM dan sebagainya walaupun kita berhadapan dengan cabaran yang sama saban tahun.

“Penggubal dasar perlu lebih kreatif dan inovatif memikirkan dan menggubal kaedah baharu membuat penilaian akademik pelajar di sekolah. “Sistem sedia ada berkemungkinan sudah tidak lagi relevan dengan senario semasa dan memerlukan satu lonjakan baharu dalam sistem pembelajaran,” katanya.

Beliau menambah, seiring pembudayaan pembelajaran secara dalam talian, konsep penilaian berteraskan buku terbuka dan sebagainya, maka sudah tiba masa untuk pihak berwajib memberikan perhatian terhadap penggubalan sistem pendidikan terutamanya dalam aspek penilaian yang tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan seperti SPM dan sebagainya.

Selain itu, katanya peperiksaan secara berpusat juga sudah seharusnya dinyah pusatkan. Namun Mohd Fadzil berkata, jika masih ingin meneruskan peperiksaan SPM, ia tidak harus dijadikan sebagai penilaian agung yang berperanan menentukan pencapaian sebenar pelajar seperti mana yang dilaksanakan pada masa ini.

Bagaimanapun, katanya untuk membatalkan SPM pada waktu ini ia amat sukar kerana masih belum ada satu sistem atau kaedah yang terbukti berkesan untuk melakukan penilaian dalam bentuk atau kaedah yang lain.

Suara Sarawak