ASAJAYA: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mencari siput sedut di Pantai Jaie, Sadong Jaya sejak semalam ditemukan meninggal dunia petang tadi.
Komander Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Zaidel Zailani berkata mangsa, Hamizan Rahmat, 42, ditemukan dalam keadaan lemah pada jam 12.50 tengah hari sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan kira-kira jam 3 petang.


“Operasi SAR hari kedua diteruskan pada jam 8.30 pagi dan sekitar jam 12.50 tengah hari, pasukan SAR berjaya menemui mangsa di kawasan belukar, kira-kira 500 meter dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Mangsa kemudian dibawa ke kawasan selamat untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Zaidel memaklumkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.02 malam Rabu berhubung kehilangan mangsa di Kampung Jaie, Asajaya. Susulan itu, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
“Mangsa dipercayai keluar dari rumah sekitar jam 11 pagi semalam dengan menaiki basikal untuk mencari siput sedut di Pantai Jaie. Kehilangannya hanya disedari ahli keluarga apabila mangsa tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang.
“Usaha awal pencarian oleh ahli keluarga dan penduduk kampung berjaya menemukan basikal milik mangsa di kawasan semak berhampiran pantai, namun mangsa gagal dikesan sebelum laporan polis dibuat,” katanya.



