BELADIN: Karnival Beting Maro (KBM) 2025 menjadi platform penting dalam mengangkat sukan, budaya dan produk tempatan ke peringkat lebih tinggi, seiring aspirasi kerajaan membangunkan industri pelancongan serta seni budaya Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, karnival itu berpotensi memperkenalkan keunikan budaya masyarakat setempat di samping memperluas pasaran produk pertanian dari Daerah Pusa.
“Langkah ini diyakini mampu menjadikan DUN Beting Maro sebagai hub pengeluaran makanan berpotensi di negeri ini.
“KBM turut memberi pendedahan dan pendidikan kepada pengusaha tempatan mengenai dasar, hala tuju serta kemudahan yang disediakan kerajaan bagi menyokong pembangunan sektor pertanian.
”Secara tidak langsung, ia mampu menarik minat belia menceburi bidang tersebut,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi ketika merasmikan KBM 2025 di Dataran Temenggong Kadir Beladin, pada Jumaat.
Beliau menegaskan, sektor pelancongan bukan sahaja memberi manfaat kepada bandar besar, malah berupaya menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penganjuran pelbagai program dan aktiviti pelancongan oleh pejabat ADUN termasuk karnival, pameran dan latihan kemahiran bagi meningkatkan daya saing usahawan tempatan.
Masyarakat setempat turut disaran memanfaatkan KBM 2025 sebagai wadah memupuk perpaduan, di samping memperkenalkan destinasi menarik serta budaya asli Beting Maro, khususnya di Daerah Pusa dan perkampungan Beladin.
Kejayaan menganjurkan program berprestij ini katanya wajar dihargai dengan harapan ia dapat diteruskan demi mengangkat produk tempatan ke tahap lebih tinggi.
Sementara itu, acara regata yang menjadi kemuncak KBM 2025 menyaksikan penyertaan 20 pasukan dari seluruh Sarawak dengan tawaran hadiah keseluruhan RM78,000.
Pasukan yang bergelar Raja Sungai bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM15,000. — TVS




